Walaupun kurang sihat, itu bukan kekangan buat penyanyi Aina Abdul untuk memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu pada hari pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38), hari ini.
Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berkata, kesihatannya mula merosot selepas menjayakan konsert solo A Night With Aina Abdul 3.0 pada 18 November lalu.
“Memang kurang sihat hari ini. Selalunya selepas selesai projek besar seperti konsert, saya memang akan jatuh sakit.
"Selepas konsert solo tempoh hari, belum sempat rehat panjang tetapi sudah berjumpa dengan doktor dan dinasihatkan tidak mengambil makanan pejal, hanya makanan jenis cair sahaja sebab berkaitan masalah penghadaman,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Sementara itu, Aina bersyukur apabila karya ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu diumumkan sebagai lagu terbaik dan lagu Pilihan Alha Alfa pada saringan hari pertama.
"Saya bersyukur dan tidak sangka karya ini diumumkan lagu terbaik dan lagu pilihan Alha Alfa. Hari ini saya hanya ingin menyanyi dan menghiburkan peminat sahaja sebenarnya.
"Lagu-lagu yang bertanding pada hari pertama ini juga sangat hebat.
"Ada juga lagu dan penyanyi yang saya minat bertanding hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia mengakui sudah menyimpan angan-angan dan memiliki idea persembahan sekiranya diberi peluang beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 38.
Juara AJL37 itu juga tidak menafikan meletakkan harapan tinggi untuk mengulangi kejayaannya pada edisi tahun lalu.
"Setiap tahun memang sudah meletakkan harapan tinggi untuk karya yang saya pertaruhkan.
“Bukan sebab sikap berdaya saing tetapi sebenarnya saya seorang anak seni berjiwa kental dan apabila mahu dapatkan peluang bukan satu perkara yang senang nak dapat.
“Ini tahun kelima saya sertai SFMM dan masih ingat momen tahun pertama. Justeru, ini adalah lembaran baharu dan ada cabaran tersendiri, sudah tentu saya nak mengulangi kejayaan sama, siapa yang tak mahu?” katanya lagi.
Hari ini, Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan hasil ciptaan sepenuh Aina Abdul diumumkan sebagai Lagu Terbaik bagi hari pertama SFMM38.
Menerusi pemilihan tersebut, Aina membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dan barangan eksklusif tajaan Alha Alfa.
Mengekalkan momentum, lagu tersebut turut menjadi Lagu Pilihan Alha Alfa sekali gus membawa pulang RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.
Sumber: HibGlam
|