|
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino dan Enzo Fernandez meraikan gol keempat jaringan Cole Palmer ketika menentang Manchester United di Stamford Bridge, London kelmarin. – Foto REUTERS
LONDON: Mauricio Pochettino berazam untuk membina "hubungan sejati" bersama penyokong Chelsea ketika beliau kelihatan mahu menggunakan kesempatan susulan semangat muhibah berikutan kemenangan mengagumkan 4-3 ke atas Manchester United.
Jaringan Cole Palmer pada minit ke-11 masa kecederaan, gol kemenangan paling lewat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL), mencetus suasana gegak gempita di Stamford Bridge kelmarin yang jelas berlawanan sekali dengan kemarahan ramai peminat The Blues dalam musim yang mengecewakan.
Chelsea diejek di laman mereka sendiri beberapa kali musim ini, paling teruk reaksi selepas mereka tunduk di tangan Wolves 4-2 pada Februari lalu.
Anak buah Pochettino bagaimanapun tidak kalah dalam liga sejak itu dan mara ke separuh akhir Piala FA, yang mana mereka berdepan Manchester City.
Namun kemenangan kelmarin tidak diragui persembahan paling mengujakan Chelsea sejak konsortium Clearlake Capital diketuai ahli perniagaan AS, Todd Boehly membeli kelab itu hampir dua tahun lalu.
Gol kemenangan Palmer, yang menyaksikannya melengkapkan hatrik dan hadir beberapa saat selepas dia menyamakan kedudukan 3-3 buat Chelsea, mencetus limpahan emosi dalam kalangan pengurusan Chelsea di tepi padang dan penyokong di bangku penonton.
Jaringan pemain Chelsea, Cole Palmer (tengah) mencetus suasana gegak gempita penuh emosi dalam kalangan penyokong di Stamford Bridge. – Foto AFP
Penyokong Chelsea sudah biasa melihat pasukan itu memenangi kejuaraan EPL di bawah pemilik terdahulu Roman Abramovich namun pasukan itu sudah merudum ketika bekas pengurus Tottenham, Pochettino mengambil alih daripada bos sementara Frank Lampard pada Julai tahun lalu.
"Saya mempertaruhkan reputasi saya untuk hadir ke sini, dalam satu projek untuk membina pasukan dengan pemain muda, pemain berbakat," kata Pochettino.
"Kami sedar ia satu cabaran besar untuk membina satu pasukan, memenangi perlawanan dan menjadi kompetitif, untuk berdepan risiko dengan penyokong.
"Saya katakan sejak awal, saya mahu membina satu hubungan yang sejati. Bukannya dengan mencium lencana atau melakukan sesuatu yang bodoh di tepi padang untuk memenangi hati peminat.
"Saya mahu menyediakan pasukan dengan alat untuk memenangi perlawanan, untuk menjadikan mereka percaya terhadap kami dan membina satu hubungan. Saya tidak berada di sini untuk menjadi populis dan hipokrit dan berkata 'saya sayangkan peminat', kerana saya tahu sudah tiba masanya untuk membentuk hubungan ini."
Chelsea, yang menghuni tangga ke-10 liga, bertandang ke kelab tangga tercorot Sheffield United awal pagi Isnin ini. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... jati-dengan-peminat |
|