View: 6451|Reply: 0
|
Palmer tiada dendam terhadap Man City
[Copy link]
|
|
Pemain sayap Chelsea, Cole Palmer kini berkongsi tangga teratas senarai penjaring Liga Perdana Inggeris dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland pada 20 gol. - Foto AFP
LONDON: Mauricio Pochettino yakin bintang Chelsea, Cole Palmer tidak perlu membuktikan apa-apa kepada bekas kelabnya, Manchester City menjelang aksi separuh akhir Piala FA tengah malam ini.
Palmer menjadi sandaran skuad kendalian Pochettino untuk menewaskan juara bertahan, City di Wembley selepas berpindah ke Stamford Bridge pada September.
Pengendali City, Pep Guardiola berkata pemain 21 tahun itu mahu meninggalkan Etihad untuk dua musim bagi mencari tempat dalam kesebelasan utama.
"Dia meminta untuk meninggalkan kelab selama dua musim. Saya kata 'tidak, kekal'. Apa yang kami boleh lakukan?
"Ketika pra-musim saya menyuruhnya untuk kekal kerana Riyad (Mahrez) sudah pergi, tetapi dia berkata 'tidak, saya mahu pergi'," kata Guardiola.
Palmer terpaksa bersaing dengan Jack Grealish, Phil Foden dan Jeremy Doku di City, sekali gus meyakinkan Guardiola untuk menerima permohonan pemain muda itu dengan berat hati.
Penyerang England itu menyerlah di Chelsea, di mana posisinya dalam jentera serangan Pochettino cukup terjamin dan Palmer kini antara calon Pemain Terbaik Tahunan PFA.
Palmer turut berkongsi tangga teratas dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris pada 20 gol selepas dia meledak empat kali ketika kemenangan 6-0 ke atas Everton.
Walaupun Palmer pasti gembira jika dapat menyingkirkan juara bertahan Piala FA itu malam ini, Pochettino percaya pemainnya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi selepas menyempurnakan penalti dalam masa kecederaan ketika mengikat City 4-4 di Stamford Bridge pada November.
"Ia adalah musim pertama dia bermain secara konsisten, kami perlu berhati-hati kerana dia masih muda, sedang membangun.
"Sudah dua kali dia menentang City di Liga Perdana Inggeris. Dia berterima kasih kepada City, dengan Pep Guardiola. Dia sering bercakap perkara yang baik tentang mereka.
"Dia faham atas sebab tertentu dia perlu membuktikan kemampuannya di kelab lain. Dia bukan jenis seseorang yang mahu membuktikan sesuatu kepada bekas kelabnya," kata Pochettino.
Sebelum menyertai Chelsea, Palmer hanya bermain 19 perlawanan liga sepanjang tiga musim, dan belum menjaringkan sebarang gol Liga Perdana Innggeris.
Kini dia adalah peledak utama Chelsea dan antara bintang sedang meningkat naik di Eropah.
Dia antara pilihan untuk membarisi skuad England kendalian Gareth Southgate ke Euro 2024. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... m-terhadap-man-city |
|
|
|
|
|
|
| |
|