CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11001|Reply: 0

[Sarawak] Ketua masyarakat, ketua kaum perlu galas amanah sebaiknya

[Copy link]
Post time 21-4-2024 06:02 PM | Show all posts |Read mode


BINTULU: Ketua masyarakat dan kaum di rumah panjang yang telah diberi kuasa di bawah lantikan kerajaan perlu mengetahui peranan serta senarai tugas yang diamanahkan terutama untuk membantu rakyat akar umbi di kawasan mereka.

Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti berkata, apabila diberi kuasa serta dilantik kerajaan melalui surat lantikan maka semua tuai rumah, penghulu, pemanca dan temenggung telah diberikan senarai tugas.

Katanya, mereka perlu baca senarai tugas itu dan jangan gantung di dinding rumah sahaja.

"Mereka merupakan wakil kepada kerajaan untuk mentadbir rumah panjang, lihat betul-betul peranan yang perlu dimainkan setelah dipilih dan dilantik sebagai ketua masyarakat dan kaum," ujarnya dalam ucapan aluan pada Majlis Makan Malam Penghargaan untuk bekas Temenggung Utong Sigan dan bekas Setiausaha Politik Premier Sarawak Jenny Bangga di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi ketua masyarakat dan kaum yang telah berkhidmat lama mereka turut memain peranan membantu dalam perkongsian ilmu kepimpinan untuk ketua masyarakat baharu atau yang dinaik pangkat mengganti pemimpin lama yang bersara.

Katanya, kita perlu saling membantu antara satu sama lain dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan terutama dalam menjunjung tinggi adat kita sebagai wakil pemimpin akar umbi bagi adat masyarakat Iban di rumah panjang, Penan, Kayan, Kenyah, Punan dan sebagainya yang juga mempunyai adat sendiri.

Selain itu katanya, tuai rumah atau ketua masyarakat juga perlu cakna dengan alamat pada kad pengenalan anak buah supaya tidak timbul kekeliruan apabila berlaku sesuatu perkara setelah didapati alamat mereka berada di tempat lain.

Katanya, bidang pendidikan sehingga ke peringkat tinggi juga perlu ditekankan dalam kalangan anak-anak di rumah panjang untuk terus maju dalam kehidupan serta memastikan anak-anak tidak terlibat dalam permasalahan sosial.

Beliau berterima kasih dan melahirkan rasa penghargaan kepada bekas Temenggung Utong yang bermula sebagai tuai rumah, penghulu, pemanca dan kemudian dilantik sebagai temenggung telah memberikan perkhidmatan cukup cemerlang.

"Dalam senarai perjawatan ketua masyarakat, temenggung adalah yang tertinggi dari segi protokol sama tahapnya dengan residen," jelasnya.

Justeru katanya, pangkat tertinggi itu akan menjadi contoh memandangkan ketua masyarakat merupakan wakil kepada kerajaan yang mana apabila berlaku kesalahan ia akan saling berkait dengan kesalahan ditujukan dari ketua masyarakat sehingga ke pegawai penjawat awam tertinggi dalam pentadbiran kerajaan.

Disebabkan itu katanya, ketua-ketua masyarakat dan kaum merupakan mata dan telinga kerajaan di rumah panjang dan apabila berlaku kesalahan ataupun kesilapan kita perlu mengambil iktibar dan belajar untuk membetulkan kesalahan itu.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-5-2024 07:17 AM GMT+8 , Processed in 0.056602 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list