CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2787|Reply: 0

[Sarawak] Kertas cadangan tubuh Jabatan Perikanan Sarawak dijangka dibentang pada sidang Dewan Undangan Sarawak, Nov depan

[Copy link]
Post time 24-4-2024 07:24 PM | Show all posts |Read mode


Dr Abdul Rahman melakukan simbolik pelancaran Konvensyen Usahawan Tani 2024 sambil disaksikan oleh Martin (empat kanan) serta tetamu kehormat lain.

KUCHING: Kertas cadangan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Sarawak, November depan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, dengan adanya jabatan itu kelak ia akan dapat memfokus untuk mempertingkatkan industri perikanan di negeri ini.

Menurut beliau, kementeriannya telah berjaya menubuhkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dua tahun lalu dan kini dalam proses menubuhkan Jabatan Perikanan.

"Kini kita (M-FICORD) dalam rangka untuk membuat penilaian awal dan dalam proses untuk bertemu dengan negeri-negeri yang ada mempunyai Jabatan Perikanan sendiri seperti Sabah.

"Insya-Allah, kita cuba kalau boleh bentangkan seawal-awalnya pada persidangan akan datang iaitu pada November nanti.

"Tetapi sekiranya belum bersedia, kemungkinan besar kita akan membentangkan pada persidangan tahun depan," ujarnya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Usahawan Tani Tahun 2024 anjuran Jabatan Pertanian Sarawak di sini, hari ini.


Dr Abdul Rahman ketika melawat reruai pameran pada majlis Konvensyen Usahawan Tani 2024 di Kuching hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri M-FICORD (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben dan Timbalan Pengarah Sektor Operasi Jabatan Pertanian Sarawak Radziah Jack.

Dr Abdul Rahman berkata, tujuan kerajaan Sarawak menubuhkan jabatan sendiri adalah supaya setiap jabatan itu dapat fokus kepada sektor masing-masing.

"Jika dibandingkan sebelum ini, semua sektor tanaman, ternakan dan perikanan adalah di bawah Jabatan Pertanian.

"Jadi dengan adanya Jabatan Perikanan Sarawak nanti, ia akan melengkapkan jabatan-jabatan yang dapat memfokus produk atau industri yang sangat penting dalam kesemua sektor pertanian berkenaan," katanya.

Semasa persidangan Dewan Undangan Sarawak pada Mei 2022, Menteri M-FICORD Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dilaporkan berkata pihaknya merancang menubuhkan Jabatan Perikanan Sarawak untuk mempercepat dan mengawal pembangunan industri perikanan di Sarawak.

Menurutnya pada masa itu, pembangunan perikanan darat berada di bawah Jabatan Pertanian, manakala perikanan laut diuruskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

"Cadangan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak dijangka memacu pembangunan perikanan industri ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluar perikanan utama di rantau ini," katanya.

Terdahulu, Dr Abdul Rahman dalam ucapannya, mencadangkan agar Konvokesyen Usahawan Tani diadakan secara tahunan atau dwitahunan bagi memberikan peluang kepada peserta mendapat ilmu terkini dalam industri tersebut.

Kira-kira 150 usahawan termasuk pegawai pembimbing daripada pelbagai agensi kerajaan mengambil bahagian dalam Konvokesyen Usahawan Tani bertemakan 'Transformasi dan Memperkasakan Usahawan Tani' yang diadakan dari 24 hingga 26 April ini.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

8-5-2024 09:00 PM GMT+8 , Processed in 0.057809 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list