|
"Kami dah kenal sejak dua tahun lalu dan sudah merancang untuk berkahwin sejak tahun lalu," kata pelawak dan penyampai radio, Chiwan Chilok, 38, yang melangsungkan pernikahan dengan Amira Ayuni Hashim, 27, kelmarin.
Pasangan itu sah bergelar dengan suami isteri dalam majlis pernikahan di Bizmilla Eco Sanctuary, Telok Panglima Garang, Banting jam 6 petang.
"Tanpa hantaran, mas kahwinnya RM1,000 bersama sebentuk cincin," katanya kepada Harian Metro.
Chiwan yang juga penyampai Suria FM berkata, pada mulanya mereka merancang untuk mengadakan majlis pada Februari lalu.
"Cumanya kerana kekangan waktu, kami terpaksa tangguh dulu sehingga ke bulan ini," katanya.
Menggalas tanggungjawab baru, Chiwan berkongsi rasa bahagia kerana kini sudah bergelar suami dan tidak merancang mengenai cahaya mata, sebaliknya menerima dengan terbuka sekiranya diizinkan Allah dalam tempoh terdekat.
"Saya rasa gembira sebab dah jadi suami. Selepas ini, kalau nak bawa pasangan ke mana-mana, dah tak ada halangan atau orang perkatakan. Memang niat saya nak halalkan dia.
"Rabu nanti saya dah masuk kerja balik. Rancangan untuk bulan madu mungkin pada Aidiladha.
"Kami tak rancang untuk cahaya mata, tapi kalau ada rezeki awal, lebih bagus. Saya pun dah 38 tahun. Jadi, harapannya secepat mungkin," katanya.
Sumber : Harian Metro |
|