|
Antara penyokong KDN FC yang memberi sokongan kepada pasukan itu. - Foto KDN FC
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) mengumumkan penjualan tiket bagi tempat duduk terbuka dijual dengan harga RM10.
Pengurangan harga tiket asal RM15 itu bagi memberi peluang peminat memenuhkan stadium bagi aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV (SSMIV) Kota Bharu, musim ini.
Pada aksi Jumaat ini, skuad kijang emas bakal melayan kunjungan Sabah FC.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, untuk tempat duduk astaka, harga kekal RM25.
Rozi berkata, pihaknya teruja dengan kehadiran hampir 4,000 penonton ke SSMIV pada perlawanan pramusim dan pihak pengurusan mengambil keputusan menurunkan harga tiket pada perlawanan pertama di laman sendiri.
"Kami juga lihat ramai penyokong hadir ke arena lawan pada perlawanan pertama Liga Super, KDN FC menentang Sri Pahang.
"Jadi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih serta harapan untuk penyokong terus membanjiri tempat duduk stadium, kami setuju untuk turunkan harga tiket tempat duduk terbuka," katanya.
Tiket perlawanan akan dijual seawal Khamis ini di kedai cenderahati KDN FC di SSMIV bermula jam 12 tengahari sehingga jam 10.30 malam.
Jualan akan disambung semula pada hari perlawanan bermula jam 9 pagi di kaunter tiket di dataran SSMIV, Kota Bharu.
https://www.bharian.com.my/sukan ... -aksi-bertemu-sabah |
|