View: 3544|Reply: 0
|
[Johor]
14 pengikut Millah Abraham dihadap ke Mahkamah Syariah
[Copy link]
|
|
SERAMAI 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Imam dan guru penolong kanan antara 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama dan memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.
Mereka terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun, yang berhadapan satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Syahir Sahab.
Hukuman bagi kedua-dua seksyen ialah mereka boleh dipenjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan selain dikenakan pelucutan hak dan juga sesi kaunseling.
Prosiding terbabit adalah untuk sebutan bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing (tempat kejadian berlaku) selari dengan seksyen 67 enakmen sama.
Mereka kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Ahmad Wafi Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, semua pengukut ajaran terbabit dibawa menaiki van Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dikawal ketat anggota penguatkuasa dan polis.
Sebelum penahanan mereka, pihak berkuasa JAINJ mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.
Ajaran Millah Abraham difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Antara fahaman salah ajaran ini ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.
Pada masa sama, mereka juga cuba menggabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|