Butterworth: Penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bekas teman wanitanya di sebuah pasar raya, minggu lalu.
Tertuduh, S Darvin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Mengikut pertuduhan, Darvin didakwa menakutkan R Sivarubini, 27, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Bagan Ajam di sini, pada 4 Ogos lalu, jam 8.30 malam.
Darvin didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma' 'Amira Shahidani manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Semasa prosiding, Asma' 'Amira memohon jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, dalam rayuannya, tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan pendapatan bulanan hanya RM2,500 selain menanggung ibu bapa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan seperti diminta pihak pendakwaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas mengugut dan bertindak cuba membunuh bekas teman wanitanya di sebuah pasar raya.
Dalam insiden berkenaan, mangsa mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut untuk melepaskan diri.
Orang ramai yang berada di lokasi kemudian menenangkan suspek sebelum bertindak menahan lelaki itu dan menyerahkannya kepada polis.