Edited by sfhzuraz at 11-8-2024 07:00 PM
PBAPP harap Nadma jalankan operasi pembenihan awan
11 Ogos 2024 05:45pm
Empangan Teluk Bahang pada Ahad menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu 26.6 peratus. Foto Bernama
GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) untuk meningkatkan kapasiti air di dua empangan utama di negeri ini yang menyusut.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, hujan sejak beberapa hari lepas masih belum cukup untuk menambah stok simpanan semasa air mentah di Empangan Air Hitam dan Empangan Teluk Bahang yang merekodkan bacaan paras air 30 peratus dan 26.6 peratus pada Ahad.
"Paras empangan-empangan berkenaan masih menyusut berbanding hari-hari sebelumnya.
"Kita masih berharap Nadma, dengan penilaian dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan menjalankan OPA di kawasan tadahan air di empangan-empangan tersebut,” katanya kepada Bernama pada Ahad.
Pathmanathan bagaimanapun memaklumkan pengoperasian loji-loji yang sumber airnya dari dua empangan itu masih pada tahap optimum.
Terdahulu, Bernama melaporkan bacaan semasa yang direkodkan PBAPP pada Ahad menunjukkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam menyusut 1.2 peratus kepada 30 peratus berbanding 31.2 peratus yang direkodkan Khamis lepas.
Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif turut menurun sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 27.4 peratus pada Khamis kepada 26.6 peratus hari ini.
Selasa lepas, Nadma dalam kenyataan memaklumkan baki stok simpanan semasa air mentah di Empangan Muda, Kedah; Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang menyusut dan berada pada paras bahaya dengan bacaan dicatatkan masing-masing adalah 7.44 peratus, 16.43 peratus dan 28.2 peratus, setakat 5 Ogos.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, PBAPP menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah dua kali menulis surat kepada Nadma memohon pembenihan awan dijalankan di dua kawasan empangan itu, namun setakat ini tiada maklum balas berkaitan diterima. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/679713/edisi/utara/pbapp-harap-nadma-jalankan-operasi-pembenihan-awan
|