Langkawi: Alah bisa, tegal biasa. Itu peribahasa bagi menggambarkan empat jurukimpal wanita yang sudah lali berhadapan bahaya ketika bertugas di limbungan kapal selama lapan jam sehari.
Nurul Izzah Ahmad Daud, 23, Nur Ikhmal Diniah Norsuaidi, 19, Nur Adifa Farain Razali, 22, dan Nurmira Allya Hamiza, 21, adalah kakitangan KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd di Bukit Malut, di sini.
Empat wanita muda terbabit adalah antara 85 pekerja tempatan yang memiliki kelulusan dan berkemahiran dalam kerja kimpalan kapal.
Nurul Izzah berkata, melakukan kerja kimpalan di ruang yang sempit dan persekitaran panas serta berada di atas perancah besi setinggi lebih 10 meter bukan mudah, selain sentiasa 'bertemankan' bahaya.
"Kerja di pelantar limbungan kapal tempat biasa bagi manusia, tetapi berada di atas tangga atau perancah besi yang tinggi sambil melakukan kimpalan, apa saja kemungkinan perlu dihadapi kerana ia situasi yang bahaya.
"Tanpa ilmu di dada, persediaan rapi, kepakaran dan kerjasama dengan rakan sekerja, semuanya tidak boleh dicapai, jika hanya ada keberanian saja," katanya yang bekerja di syarikat itu lebih setahun lalu.
Senada dengan rakannya, Nurmira Allya berkata, dia juga lali dengan tugas mencabar itu, tetapi melakukan dengan penuh waspada kerana sekelip mata boleh berdepan risiko terjatuh atau melecur terkena kimpalan.
"Kemahiran melakukan kimpalan ini diperolehi ketika belajar di GiatMara Seremban, Negeri Sembilan dan syarikat pembuatan kapal ini adalah tempat pertama saya mencari rezeki, Alhamdulillah, saya seronok bekerja, di sini," katanya.
Nur Ikhmal pula berkata, kerja kimpalan kini bukan lagi milik eksklusif golongan lelaki kerana semakin ramai wanita yang mempunyai kelulusan dari pelbagai pusat latihan dan berkemahiran tinggi untuk melakukan kerja itu.
"Saya dan rakan-rakan wanita lain dilayan sama sahaja dengan pekerja lelaki sepanjang bekerja di sini termasuk bayaran gaji bergantung kepada kemahiran, ketelitian dan kualiti kerja yang dihasilkan," katanya.
Manakala, Nur Adifa Farain berkata, dia mengambil masa tiga bulan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran limbungan dipenuhi dengan peralatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan rakan sekerja lain.
"Biarpun memakai peralatan keselamatan termasuk topi keselamatan, perasaan gerun serta gayat tetap ada ketika melakukan kerja kimpalan dinding dan lantai kapal di tempat tinggi," katanya.
Mereka ditemui pada Majlis Penyempurnaan Pembinaan Kapal Peronda 38M Sea Eagle untuk Tentera Laut Nigeria di Northern Shipyard, Kampung Malut, di sini, semalam.