Bukit Kayu Hitam: Lori kontena yang merempuh sebuah rumah di Taman Desa Bayan Emas, di sini semalam dipercayai akibat masalah pedal minyak yang tersangkut pada lantai kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu berusia 59 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dar
i sebuah gudangdi Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, sewaktu menuruni jalan industri Bukit Kayu Hitam-Ladang Rakyat, pemandu kontena terbabit mendapati pedal minyak tersangkut di lantai kenderaannya.
Dia cuba untuk memberhentikan kontena dipandunya namun gagal menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah.
"Pemandu lori kontena itu adalah warga Thailand ditahan untuk siasatan lanjut.
"Sewaktu rumah itu dirempuh, penghuni berada di dalam rumah terbabit namun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rodzi berkata, rempuhan itu turut mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal milik mangsa mengalami kerosakan.
"Kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan struktur bahagian depan rumah berkenaan.
"Pemandu treler berkenaan cedera di kepala dan matanya. Ujian urin lelaki berkenaan negatif," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.