Langkawi: "Gara-gara dua siput sedut yang diletak atas meja seolah-olah mahu berlawan ketika siaran langsung di aplikasi TikTok, penonton dan pengikut akaun TikTok saya kini meningkat berlipat kali ganda.
"Dua hari lalu ketika bersiaran perlumbaan siput sedut ala Sukan Malaysia (Sukma) 2024, saya raih 5,700 penonton, diikuti kelmarin jumlah meningkat kepada 12,000 penonton," kata Muhammad Aswat Azdha Idris, 29.
Sehingga hari ini, akaun TikTok milik Muhammad Aswat atau lebih dikenali sebagai @tansri_ash mencecah 40,000 pengikut dan siaran langsung menerima 5.7 juta tanda suka (likes).
Dia bekerja sebagai pemandu pelancong dan menetap di Kampung Lubuk Chempadak, Pulau Tuba di sini.
"Tidak sangka siaran langsung berikutnya memaparkan haiwan yang hidup di hutan bakau berlumba seperti Sukma 2024 pada 9 malam kelmarin meraih hampir RM2,000 menerusi gift (hadiah) yang diberikan oleh penonton.
"Saya juga menerima pelbagai kata-kata semangat dan dorongan netizen dari merata tempat supaya meneruskan aktiviti santai ini yang disifatkan mereka sangat menghiburkan dan kelakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini, siaran langsungnya hanya ditonton kurang daripada 10 orang.
"Jadi saya amat terhutang budi kepada siput sedut yang membantu menjadikan akaun TikTok saya kini 'meletup-letup' dan 'trending' di media sosial," katanya.
Muhammad Aswat berkata, rata-rata penonton siaran langsung TikToknya turut teruja apabila mengetahui perlumbaan siput sedut itu dilakukan di atas trek menggunakan tudung periuk dengan garisan menggunakan marker pen (pen penanda).
"Pada masa sama ingin ditegaskan, saya tidak menerima sebarang 'betting' atau pertaruhan daripada orang ramai meskipun mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penonton," katanya.