7 sekeluarga terselamat, pokok 'kakho' timpa rumah
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
Anggota BBP Sik melakukan operasi pemotongan dahan pokok 'kakho' yang menghempap rumah serta sebuah kereta Perodua Kancil di rumah seorang penduduk di Kampung Kuala Temin, Jeneri akibat angin kencang dan hujan lebat. FOTO IHSAN BOMBA
Sik: Tujuh sekeluarga terselamat apabila rumah didiami mereka dihempap pokok 'kakho' yang tumbang ketika hujan lebat dan angin kencang di Kampung Kuala Temin, Jeneri, di sini, malam tadi.
Dala kejadian sekitar 8 malam itu, mereka sempat melarikan diri ke rumah jiran berhampiran sebaik pokok sebesar satu pemeluk itu tumbang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.26 malam.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa lelaki bersama isteri dan anak-anak serta saudaranya yang datang bercuti berada dalam rumah sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.
"Mereka kemudian melarikan diri ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri sebelum operasi membersihkan lokasi dilakukan pihak bomba," katanya.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Disiarkan pada: September 16, 2024 @ 10:38am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1134399/7-sekeluarga-terselamat-pokok-kakho-timpa-rumah
|