CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17718|Reply: 0

[Sarawak] Kerajaan Sarawak cadang tubuh kolej teknikal Islam: Abang Johari

[Copy link]
Post time 18-9-2024 01:46 PM | Show all posts |Read mode


Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berbual mesra dengan Abang Johari dan Fatimah sebelum memulakan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2024 di Dataran Pehin Setia Raja Mukah, hari ini. Turut kelihatan Asfia, Dr Abdul Rahman, Mohamad Abu Bakar serta tetamu kenamaan lain. - Gambar Penerangan

SIBU: Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan kolej teknikal Islam bagi memberi peluang kepada pelajar Islam di negeri ini melaksanakan amanah melalui ajaran al-Quran dan ilmu duniawi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai umat Islam mereka hendaklah mempelajari kedua-dua cabang ilmu terbabit.

"Ilmu akhirat dan ilmu dunia hendaklah dipelajari supaya dapat kita mengangkat martabat agama kita supaya dihormati oleh orang lain dan kita menjadi contoh," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2024 di Dataran Pehin Setia Raja Mukah, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Perarakan disertai sebanyak 122 kontinjen melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta swasta.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada umat Islam kerana bersama kerajaan dalam menjaga perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

"Kita menjalankan dakwah melalui apa yang disebut sebagai dakwah bil hal (dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik) selaras dengan tuntutan agama.

"Kita hendaklah melaksanakan tugas kita seperti yang dihendaki agama serta menjadi contoh dan seterusnya mengekalkan kehidupan kita dan menaik taraf kedudukan kita melalui pendidikan yang baik," katanya.

Terdahulu, beliau turut menggesa umat Islam menjalankan tugas berdasarkan akhlak al-Amin yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Katanya, Nabi Muhammad terkenal sebagai seorang yang amanah, bertanggungjawab dan memberikan banyak sumbangan ke arah pembangunan manusia sejagat.
"Ini adalah tiga ciri yang harus kita ambil kira dalam kita menjalankan tugas di dunia ini.

"Dalam hubungan ini, kita di Sarawak ingin melaksanakan apa yang disebut sebagai dasar muraqabah di mana kita mengambil kira kehidupan seharian dan keduanya tanggungjawab kita kepada alam semesta.

"Tanggunjawab kita adalah untuk menjalankan amanah yang telah diberi kepada kita dari sudut mempertingkatkan keadaan kita yang lebih baik lagi untuk masa depan," ujarnya.

Abang Johari berkata, inilah dasar pemerintahan di Sarawak di samping menyemarakkan tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian hidup dan perpaduan antara satu sama lain.

Oleh sebab itu katanya, kerajaan bukan sahaja memberi penekanan terhadap corak hidup, tetapi pada masa sama turut memainkan peranan menjaga alam sekitar.
"Oleh kerana dari sudut konsep muraqabah ini kita harus mengambil kira semua aspek kehidupan kita.

"Atas sebab itu, kerajaan kita di Sarawak menumpukan ke arah menjaga alam sekitar, selain membangunkan negeri ke arah tahap yang lebih baik lagi," tegasnya.
Beliau juga memberitahu, dunia hari ini menghadapi masalah besar iaitu dari sudut iklim dan jaminan makanan.

"Maka, dasar kerajaan kita sesuai dengan kehendak umat dan pemimpin Islam untuk memberikan kebaikan kepada semua aspek kehidupan," tambah beliau.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-9-2024 10:43 AM GMT+8 , Processed in 0.036665 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list