Banjir: Kadar kekeruhan air sungai tinggi, penduduk dinasihat simpan air
Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 18, 2024 @ 1:25pm [email protected]
Pandangan dari udara situasi banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Penduduk di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah berikutan paras sungai dan bacaan kadar kekeruhan air mentah tinggi ketika ini.
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), berkata bacaan kadar kekeruhan air mentah membabitkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang menunjukkan trend meningkat dan berisiko terjadi gangguan bekalan air membabitkan pengguna di sebahagian daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.
"Kejadian paras sungai dan kekeruhan air mentah yang meningkat ini disebabkan faktor hujan lebat dan berterusan.
"Sehingga kini LRA yang terbabit masih beroperasi, namun pihak SADA menyarankan pengguna dapat melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir, paras air di lapan sungai di seluruh negeri ini kekal melebihi paras bahaya dan terus meningkat setakat jam 12 tengah hari tadi.
Ia membabitkan tiga sungai di Kubang Pasu, Kota Setar (dua) dan masing-masing satu di Yan, Padang Terap, dan Pendang melepasi tahap bahaya.
Di Kubang Pasu, Sungai Terap di Kepala Batas mencatatkan paras air 4.42 meter (m), melepasi paras bahaya 3.8m, manakala Sungai Bata di Kampung Bata mencatatkan paras air 9.51m melebihi 9.14m.
Sungai Laka di Kampung Padang Pasir berukuran 23m, melepasi 21.6m.
Di Kota Setar, Sungai Anak Bukit di Taman Aman mencatatkan paras 3.19m melebihi 2.6m, manakala di Jambatan TAR, Sungai Anak Bukit mencatatkan 2.01m melebihi paras bahaya 1.7m.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1299836/banjir-kadar-kekeruhan-air-sungai-tinggi-penduduk-dinasihat-simpan
|