Edited by sfhzuraz at 18-9-2024 02:24 PM
Banjir: Wanita sarat mengandung diselamatkan bomba
OlehROSHILA MURNI ROSLI
18 September 2024 12:50pm
Norshuhaida diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah pada Rabu.
KUBANG PASU - Seorang wanita sarat mengandung di Kampung Kota Mengkuang, Jitra di sini diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah pada Rabu.
Wanita berkenaan, Norshuhaida Ramli, 30, dijadualkan melahirkan anak sulungnya pada Khamis merupakan salah seorang mangsa banjir di Mukim Malau dan Pelubang di sini.
Menurut suaminya, Mohd Fitri Hamzah, 31, isterinya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebagai langkah awal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini memandangkan kawasan sekitar kampungnya itu sudah dinaiki air.
"Isteri saya dijadualkan bersalin esok. Dia dinasihatkan untuk daftar masuk ke wad hari ini (Rabu) untuk dijalankan pemantauan," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurutnya, ribuan terima kasih diucapkan kepada anggota bomba yang telah membantu mereka berdua keluar ke lokasi selamat.
"Bomba telah mengeluarkan kami dari rumah yang dinaiki air menggunakan kenderaan pacuan empat roda, sebelum dipindahkan ke dalam ambulans yang akan membawa isteri ke HSB," katanya.
]
Mohd Bustan
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jitra, Mohd Bustan Karudin berkata, Norshuhaida merupakan satu-satunya mangsa yang sarat mengandung diselamatkan mereka.
"Ikutkan mereka tinggal di Rawang, pulang ke sini untuk isterinya bersalin dan berpantang di kampung.
"Semalam juga ramai mangsa orang kurang upaya (OKU) dan lumpuh yang kami selamatkan," katanya.
Jelas Mohd Bustan, sejak banjir berlaku di daerah Kubang Pasu ini, seramai 86 orang anggota bomba digerakkan untuk operasi menyelamat.
https://www.sinarharian.com.my/article/686222/edisi/utara/banjir-wanita-sarat-mengandung-diselamatkan-bomba
|