CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 10083|Reply: 0

[Perlis] TERKINI: Perlis fatwakan ajaran GISBH sebagai sesat

[Copy link]
Post time 20-9-2024 02:53 PM | Show all posts |Read mode
TERKINI: Perlis fatwakan ajaran GISBH sebagai sesat


Oleh Aizat Sharif - September 20, 2024 @ 2:17pm [email protected]







Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.





KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Ia menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

"Unsur ajaran batiniah itu adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.

"Setelah jawatankuasa berbincang, diputuskan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan, adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

"Kesan dan akibat pengkultusan itu melahirkan ketaksuban melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama.

"Ini sekali gus jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Asri berkata, GISB Holdings Sdn Bhd juga didapati mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.

"Malah, mereka juga dilihat mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin mereka.

"Mereka juga mengaitkan pemimpin yang dikultuskan dengan unsur yang dapat menjustifikasikan tindakan mereka yang salah, dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

"Mereka juga mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka.

"Malah, mereka mewujudkan hukum-hakam syarak baharu untuk menjustifikasi aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan muamalat," katanya.

Beliau berkata, selepas meneliti pengoperasian aktiviti ekonomi GISBH, jawatankuasa menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan bukan model ekonomi Islam sebenar.

Malah, katanya, ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terbabit serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

"Oleh itu, segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH dilarang dan jawatankuasa ini mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli GISBH yang ingin keluar daripada kesesatan ini.

"Peruntukan zakat boleh digunakan untuk pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri daripada organisasi ini dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah," katanya.

Mohd Asri berkata, peruntukan zakat mengikut fisabililah, al-Riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tujuan ini.

"Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak bekas ahli GISBH untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya.

"Badan swasta boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain dan masyarakat Islam seluruhnya hendaklah ambil sikap positif dalam usaha membantu bekas ahli GISBH keluar daripada belenggu kesesatan ini," katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, semua pihak hendaklah bersama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat itu.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300757/terkini-perlis-fatwakan-ajaran-gisbh-sebagai-sesat






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-9-2024 03:33 PM GMT+8 , Processed in 0.042503 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list