Alor Setar: Bayi lelaki
ditemukan dalam kotak yang ditinggalkan di hadapan gerai kuih pasangan suami isteri di Kampung Rambai, Pendang dipercayai dilahirkan, sehari sebelum ditemukan, Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Kedah Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, bayi itu dilahirkan dengan berat 2.1 kilogram (kg) dalam keadaan sempurna.
Beliau berkata, setakat ini tiada sesiapa dalam kalangan keluarga bayi berkenaan membuat tuntutan dan kes masih dalam siasatan polis.
"Bayi itu dirawat di Hospital Pendang dan memakai oksigen kerana bimbang berlaku jangkitan pada paru-paru.
"Saya dimaklumkan doktor turut menggunakan antibiotik untuk bayi berkenaan ketika rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Roslan Mat berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung penemuan bayi itu setakat ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, bayi itu ditemukan pasangan suami isteri warga emas di atas meja hadapan gerai kuih mereka sekitar 6.45 pagi.