'Saya harap diberi peluang jalani sisa hidup'
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 20, 2024 @ 12:12pm[email protected]
Bekas banduan, Khairul Anuar Zakaria merenung jauh dari tingkap rumahnya di Alor Setar selepas dibebaskan dari penjara pada 3 Oktober lalu. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR: "Saya sedar perbuatan mengerat mangsa lapan bahagian sesuatu yang amat berat dan tidak boleh dimaafkan, namun kini saya mahu buka buku baru dan menjadi manusia baik," kata bekas banduan, Khairul Anuar Zakaria.
Pada usia senja meniti 64 tahun, pengalaman menjadi penghuni penjara selama 23 tahun, bekas pengurus jualan ini akui banyak mengajar erti kesabaran selepas diberi peluang mendalami ilmu agama.
Katanya, dia sangat menyesal atas perbuatan jenayah yang dilakukan itu dan mengakui ketika itu dia jauh dari Allah sehingga hawa nafsu menguasi dirinya.
"Hari ini Allah takdirkan saya dibebaskan selepas mendapat pengampunan dari Sultan Kedah pada Mei 2018, saya terselamat dari tali gantung dan dibebaskan 3 Oktober lalu.
"Perbuatan saya mengakhiri nyawa orang mengubah hidup saya. Namun kerana perbuatan itu, saya mahu orang lain mengambil iktibar atas apa yang berlaku.
"Kini saya cuma harap diberi peluang untuk menjalani sisa hidup sebelum dijemput Ilahi pada usia senja ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Pada 22 September 2008, media melaporkan Khairul Anuar, dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian.
Dua lagi tertuduh dalam kes itu, Ariffin Ahmad, 47, dan Muhammad Zaidi Salleh, 42, dibebaskan selepas didapati tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Datuk Kumbar, di sini antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.
Beliau kemudian mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.
Seterusnya, pada Februari 2024, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah di sini, semula kerana kerajaan memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan di penjara dan hukumannya digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 2001.
Khairul Anuar yang juga bapa kepada sembilan anak itu berkata, kehidupan di sebalik tirai besi banyak mengajarnya menjadi manusia dan berharap masyarakat dapat menerimanya.
"Dulu saya tidak kenal Allah, saya jauh dari-Nya, pada usia 40 tahun saya berada pada puncak dan berjaya menjadi orang kepercayaan syarikat, namun semuanya berubah kerana perbuatan saya.
"Apabila berada di dalam penjara, saya banyak menghabiskan masa membaca di dalam sel, dan paling banyak mengubah saya apabila saya dapat solat berjemaah dengan banduan lain.
"Saya mendalami agama, dalam masa yang saya juga diberi peluang menjadi pembantu kepada guru agama dan mengajar banduan lain untuk solat dan mengenali Allah bersama-sama, apa yang penting jika kita hendak berubah, kita baiki solat dan solat di awal waktu," katanya.
Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Abah Hayat berkata, dia sangat bersyukur kerana masih diberi kesempatan berbakti kepada ibunya yang kini sudah berusia 84 tahun.
Katanya,dia masih ingat kejadian pilu ibunya yang menangis dan pengsan ketika hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya.
"Ibu menangis dan merayu supaya hakim ringankan hukuman, ibu bagaikan histeria. Hati saya runtun dan pilu apabila terkenangkan detik itu.
"Ketika di penjara, saya tidak fikir diri saya sangat, saya hanya fikir mak kerana detik itu sangat meruntun hati saya," katanya sebak.
Khairul berkata dia berhasrat untuk terus memberikan motivasi kepada bekas banduan yang pernah menjadi anak didiknya semasa di penjara sebelum ini.
"Ramai yang hubungi saya dan jika ada peluang, saya mahu bantu bekas banduan memberikan motivasi kepada mereka. Saya tahu ramai yang terjebak semula dalam kegiatan tidak baik kerana pengaruh sekeliling," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1313495/saya-harap-diberi-peluang-jalani-sisa-hidup
|