Alor Setar: Operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Siti Rohani Saad, 37, di Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan, pada hari kedua hari ini, setakat ini belum menemui sebarang petunjuk.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, operasi hari ini diperluaskan sekitar tujuh kilometer dari penemuan motosikal wanita itu ditemui semalam.
Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada jam 6.45 petang hari ini dan akan disambung esok namun pencarian di permukaan air akan diteruskan.
"Beberapa selaman dilakukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah di lokasi pencarian selain pencarian di permukaan air menggunakan bot.
"Kita turut menggunakan khidmat dua anjing pengesan (K-9) JBPM untuk membantu pencarian wanita berkenaan.
"Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang petunjuk diperolehi berhubung penemuan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Aminuddin berkata, antara cabaran yang dilalui anggota bomba adalah arus deras selain kedalaman di bahagian tengah sungai sekitar tujuh meter dan berselut.
Operasi hari ini turut disertai pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar yang dilakukan sejak semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Rohani dilaporkan hilang selepas motosikal Honda Wave yang ditungganginya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa jarang menggunakan laluan itu ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai sebaliknya lebih banyak menggunakan laluan Titi Haji Idris dari rumahnya di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena.