Edited by maklukpenggoda at 12-12-2024 01:28 PM
Apa yang paling sedihnya, ada antara mereka yang masih duduk rumah sewa.
Kuala Lumpur: "Ukur baju di badan sendiri. Kalau rasa tak mampu, jangan pakai dan berhutang."
Demikian kata usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri mengenai tindakan segelintir individu terutama dalam kalangan ahli perniagaan dan selebriti pempengaruh yang sanggup berhutang demi bergaya dan hidup mewah.
Aliff berkata, pinjaman adalah hutang dan ia wajib dibayar bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
"Sebenarnya, di negara kita ini ramai sangat ahli perniagaan dan pempengaruh yang bergaya mewah. Mereka pergi bercuti naik kelas perniagaan, pakai barang berjenama, tapi berhutang.
"Tidak salah pun kalau nak menunjuk dan mempamerkan kemewahan namun pastikan kita sudah bayar cukai dan tak berhutang dengan orang.
"Jadi tidak ada siapa akan 'sakit mata'. Sebaliknya, kalau tunjuk kemewahan sedangkan berhutang keliling pinggang, orang yang bagi hutang itu mestilah marah.
"Macam pengalaman sendiri, ada ramai yang berhutang dengan saya. Sewaktu nak pinjam memang akan cakap manis tapi bila kita nak minta, macam kita ini pula yang berhutang dengan mereka. Pada pendapat saya, jumlah itu banyak atau sikit, sebagai orang Islam hutang itu wajib dibayar. Kalau tak bayar, mati nanti susah," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, perkara sama sentiasa menjadi peringatan buat dirinya agar tidak berlebihan dalam apa juga yang dibuat.
"Apa yang saya nak sampaikan ini tak ada niat pun nak perli atau menyindir sesiapa. Saya bukan nak cari gaduh. Sebab saya yakin hari ini mungkin hari mereka, esok lusa kita tak tahu mungkin giliran saya pula. Jadi, ini sekadar pandangan saya.
"Apa yang penting, pada masa sama perkara ini adalah nasihat dan peringatan buat diri sendiri," katanya.
Sementara itu, usahawan sensasi dan personaliti media sosial, Liana Rosli atau dikenali sebagai Kak KM berkata, tiada siapa yang terlepas daripada berhutang jika mahu membeli sebarang harta atau aset.
"Pada saya, kita kalau nak berharta memang kena berhutang. Nak berharta ini mestilah nak beli kereta, semua gah dan beli banglo, jadi tak mungkin kita beli tunai semua benda yang nilainya berjuta kan? Mestilah kita hutang bank. Cuma kita kena bayarlah.
"Kalau sudah namanya hutang, memang kena bayar apatah lagi sesama manusia. Kalau kita tak bayar hukumnya dah jadi haram. Sebab itu, bila kita tak mampu memang akan menjadi tekanan kepada diri sendiri.
"Bila kita bergaya tapi berhutang, ini sudah tipu diri sendiri. Itu sebab orang kata ukur baju di badan sendiri. Sebagai contoh, nak beli tas tangan yang berharga puluhan ribu tapi gaji RM5,000. Itu memang tak boleh. Perlu ikut pada kemampuan," katanya.
Kak KM berkata, individu yang ingin mempamer kemewahan perlu melihat semula apa tujuan dan niat mereka.
"Macam saya sebagai ahli perniagaan, bila berniaga kita mesti pakai baju semua yang berjenama dan memang kena tunjuklah. Untuk apa? Untuk menjadi inspirasi orang lain agar mereka juga boleh berjaya macam kita.
"Kalau pakai yang benda tak ada jenama atau yang murah, kita akan 'down'. Jadi, bagi saya bila kita ada duit itu yang kita kena tunjuk. Ia juga adalah kepuasan dan meningkatkan lagi keyakinan diri," katanya.
Harian Metro
|