|
WASHINGTON – Penampakan kerap dron misteri di langit negeri New Jersey menyebabkan penduduk tempatan bimbang dan mendorong siasatan segera oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS).
Laporan tempatan menggabungkan spekulasi liar yang disertai klip video kabur dan gelap tentang fenomena itu.
Selama berminggu-minggu, lampu berkelip sendiri dan bunyi kipas kenderaan udara itu dilihat di seluruh New Jersey.
Namun, ketua tentera, wakil rakyat dan penyiasat tidak dapat menjelaskan tentang fenomena objek tidak dikenali (UFO) yang berulang tersebut.
Sam Lugo, 23, yang bekerja di gimnasium Club Studio, Bergen di New Jersey iaitu kawasan yang kerap mengalami penampakan UFO tersebut, menyifatkan laporan mengenainya sebagai ‘gila’.
“ Ini agak membimbangkan, tiada penjelasan mengenai UFO tersebut,” katanya.
Beberapa pegawai kanan termasuk gabenor meminta orang ramai supaya tidak bimbang tetapi masih belum memberikan penjelasan mengenai penampakan misteri itu.
“Saya melihatnya setiap malam sejak sambutan Thanksgiving, dron-dron ini lebih kecil daripada Jeep saya,” kata seorang saksi, X Gus Seretis.
“UFO ini berlegar kira-kira ketinggian pokok atau lebih tinggi sedikit,” tambahnya, menyifatkan ia adalah pesawat yang terlalu kecil untuk memiliki juruterbang.
Dia berikrar untuk menembak UFO tersebut jika ia terbang cukup rendah.
Anggota Kongres New Jersey, Chris Smith menulis kepada Pentagon kelmarin untuk menuntut penjelasan.
“Terdapat banyak contoh kenderaan udara tanpa pemandu terbang di langit New Jersey termasuk berdekatan tapak sensitif dan infrastruktur kritikal, khususnya lokasi tentera yang terletak di daerah saya,” tulisnya kepada Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin.
Smith berkata dia turut dimaklumkan mengenai kejadian lebih 12 dron mengejar sebuah bot penyelamat pantai pada hujung minggu lalu.
Pentagon bagaimanapun menegaskan bahawa objek-objek itu bukan dron tentera AS.
“Penilaian awal kami ialah ini bukan kerja musuh atau entiti asing,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh.
Singh juga menolak dakwaan ahli parlimen Parti Republikan, Jeff Van Drew dalam program berita Fox News bahawa musuh Washington, Teheran adalah dalang di sebalik kemunculan misteri itu.
“Tiada kapal Iran di luar pantai Amerika Syarikat, dan tidak ada apa yang dipanggil kapal induk yang melancarkan dron ke arah Amerika Syarikat,” katanya. – AFP
Sumber – Harian Metro |
|