|
PETALING JAYA: Lebih 900,000 pesara akan menerima kenaikan kadar pencen antara tujuh hingga 13 peratus, mulai esok.
Kenaikan itu susulan pelaksanaan fasa pertama sistem penggajian baharu menerusi Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Semakan di aplikasi MyPesara mendapati, pelarasan pencen itu turut membabitkan kenaikan tahunan terkumpul sebanyak dua peratus diberikan sejak 2013, yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan, tahun lalu.
Kerajaan menghentikan pembayaran kenaikan itu tahun ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, namun terus membayar jumlah berkenaan sebagai bayaran insentif khas kepada penjawat awam.
Bagaimanapun, pesara yang bersara sebelum 2013 mendakwa kadar pencen masih berpandukan gaji pokok yang kali terakhir disemak 11 tahun lalu, bukannya mengikut gaji baharu di bawah SSPA.
Pesara guru berkata, bayaran pencen bulanannya meningkat RM250, iaitu kenaikan lapan peratus berbanding jumlah ditetapkan berdasarkan gred DG41, pada 2013.
Menerusi SSPA, katanya, gaji pokok bagi gred terakhir bagi gred sama adalah jauh lebih tinggi berbanding ketika tempoh akhir perkhidmatannya pada 2010.
"Menerusi SSPA, gred saya kini adalah DG12 dengan gaji pokok sekurang-kurangnya RM2,000 lebih tinggi berbanding ketika bersara. Bayaran pencen saya sepatutnya sekurang-kurangnya RM1,000 lebih tinggi, setiap bulan.
"Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya menetapkan semua pengiraan pencen perlu mengikut skala gaji semasa bagi sesuatu gred. Kami yang bersara sebelum 2013 semuanya berdepan masalah sama," katanya seperti dilaporkan FMT.
Mahkamah Persekutuan pada Jun 2023, memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, justeru mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.
Panel lima hakim itu juga sebulat suara memutuskan peruntukan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Panel dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan itu sebagai terbatal dan tidak sah.
Sementara itu, seorang lagi pesara berkata, dia menerima kenaikan kadar pencen berpandukan gaji pokok terakhir sebelum bersara dua tahun lalu, bukannya mengikut pelarasan semula seperti ditetapkan SSPA.
"Ramai dalam kumpulan pesara kami berada dikategori sama. Sepatutnya, pencen perlu diselaraskan mengikut struktur gaji baharu dalam SSPA," katanya.
Sumber – BH ONLINE |
|