TANGKAP: Polis berjaya memberkas semua suspek kejadian berkenaan.
TAWAU: Seorang lelaki mengalami detik cemas selepas dikurung dan dipukul oleh keluarga teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Merotai Besar, di sini, semalam.
Mangsa berusia 27 tahun itu dikatakan dipukul menggunakan kepala tali pinggang di bahagian kepala dan diancam menggunakan pedang samurai.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat daripada teman wanitanya dikatakan telah mengandung.
Katanya, pada awalnya mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia sedang mengandung.
“Mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas daripada teman wanitanya kira-kira jam 7 pagi pada Selasa yang meminta untuk datang ke rumahnya.
“Setibanya di rumah berkenaan pada jam 3 petang, mangsa diarah untuk masuk ke dalam bilik dan mendakwa telah dikurung oleh bapa teman wanitanya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, situasi menjadi tegang apabila mangsa dipukul menggunakan kepala tali pinggang dan ditumbuk, selain diancam menggunakan pedang samurai oleh abang teman wanitanya.
“Mangsa turut dicederakan oleh keluarga teman wanitanya dengan menggunakan alat seterika panas yang menyebabkan lengan sebelah kirinya melecur.
“Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam,” katanya.
RAMPAS: Pedang samurai dirampas dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
Sementara itu, bertindak atas maklumat kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya memberkas dua lelaki berusia 30 dan 64 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun selepas cuba melarikan diri.
Katanya, turut dirampas sebuah seterika, telefon bimbit dan sebilah pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan semasa kejadian.
Jasmin berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sehingga siasatan polis selesai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah,” katanya.
|