Edited by Vellfire at 20-12-2024 08:16 AM
SABAH, permata yang tersemat di Pulau Borneo, kaya dengan keindahan alam semulajadi yang memukau, serta warisan budaya etnik yang tinggi nilainya.
Alam yang subur dan budaya yang beraneka ragam ini bukan hanya menjadi kebanggaan rakyatnya, tetapi juga menjadi magnet utama memacu industri pelancongan negeri ini.
Pesona alam semulajadi Sabah, berpadu dengan keunikan budaya etnik yang berbilang bangsa, mewujudkan sebuah simfoni yang memikat hati para pelancong, sekali gus menjadikan negeri ini antara destinasi paling mempesonakan di rantau Asean.
Gunung Kinabalu, raja kepada segala gunung di Asia Tenggara, menjulang tinggi dengan megahnya di tengah-tengah landskap negeri ini.
Dikenali sebagai tempat bersemadi para dewa, keanggunannya menarik pendaki dari serata dunia yang ingin menjejakkan kaki di puncaknya, merasai keharmonian antara manusia dan alam.
Demikian juga dengan pantai-pantai yang menawan seperti Tunku Abdul Rahman Park, dengan airnya yang jernih dan pasir memutih, bagaikan lukisan alam mengundang ketenangan bagi setiap pengunjung yang tiba.
Kepelbagaian ekosistem marin seperti terumbu karang yang menakjubkan di Semporna, serta hutan tropika yang lebat di sepanjang Banjaran Crocker, membuktikan bahawa Sabah adalah syurga bagi pencinta alam semulajadi.
Begitulah hakikat pesona alam Sabah yang sudah terukir di peta pelancongan dunia.
Hasilnya, industri pelancongan Sabah mencatat pertumbuhan 3.0 peratus pada 2023, menyumbang 11.7 peratus kepada ekonomi negeri, sebagaimana dilaporkan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) di Sabah merekodkan RM13.1 bilion pada 2023 berbanding RM12.7 bilion pada 2022, yang disokong aktiviti perdagangan runcit serta perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman.
Dari segi pertumbuhan, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan 2.2 peratus dan perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman berkembang 2.7 peratus.
Selain itu, agensi pengembaraan, penempahan lain, perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi dan perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara; dan perkhidmatan pengangkutan penumpang serta jualan runcit bahan api kenderaan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dan 6.1 peratus pada 2023.
Mohd Uzir berkata penggunaan pelancongan domestik di Sabah berjumlah RM8.2 bilion, disokong oleh perbelanjaan pelancongan inbound pada 2023.
Perbelanjaan pelancongan inbound menyumbang 50.9 peratus (2022: 45.5 peratus) kepada penggunaan pelancongan domestik selaras pemulihan semula aktiviti pelancongan global pada 2023 selepas pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, industri pelancongan di Sabah telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 362,700 individu dengan pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus.
Mohd Uzir berkata guna tenaga dalam industri pelancongan Sabah menyumbang 22.4 peratus kepada jumlah keseluruhan guna tenaga di Sabah.
CHRISTINA
"Sektor perdagangan runcit serta perkhidmatan penginapan dan makanan dan minuman penyumbang utama dengan jumlah keseluruhan 86.0 peratus pada 2023,” katanya.
Hal ini turut diakui oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Seri Panglima Christina Liew, sambil menyatakan ASPW Sabah 2023 itu diterbitkan bersama oleh kementeriannya dengan kerjasama DOSM.
ASPW Sabah adalah inisiatif KePKAS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerajaan negeri dengan kerjasama rakan strategik DOSM.
Kerjasama ini terjalin sejak 2022 lagi dalam menerbitkan data-data yang boleh dipercayai dan berintegriti oleh DOSM yang mana ASPW Sabah 2022 yang pertama dilancarkan pada 2023.
Penerbitan ASPW Sabah 2023 pada tahun ini adalah penerbitan yang kedua untuk Kerajaan Negeri Sabah.
Christina berkata data-data berkenaan adalah bersifat inklusif dan komprehensif, iaitu hasil dapatan daripada ASPW secara langsung dapat memberikan para pemain industri dari pelbagai sektor hiliran termasuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (SME), penyedia perkhidmatan seperti penginapan, restoran, pengangkutan, barangan runcit satu indikator yang jelas untuk perancangan perniagaan mereka.
Ia amat penting kepada KePKAS dalam menentukan prestasi pelancongan Sabah.
Ini kerana ia turut menjadi rujukan untuk digunakan dalam pembentukan dasar bagi merancakkan aktiviti pelancongan negeri selaras dengan pemulihan semula aktiviti pelancongan secara global pasca pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, pakar-pakar ekonomi meramalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri dijangka akan berterusan untuk tahun 2024 dan 2025.
Dengan mengambil kira trend semasa ekonomi, kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun 2024 diunjur semula kepada sekitar 2 peratus.
Manakala kadar unjuran pertumbuhan KDNK untuk tahun 2025 dijangka meningkat kepada sekitar 2.5 peratus.
Pertumbuhan KDNK Sabah adalah sederhana pada kadar 1.3 peratus bagi tahun 2023 berbanding 3.9 peratus bagi tahun 2022.
Pada masa yang sama, KDNK per kapita menurun daripada RM35,860 pada tahun sebelum kepada RM31,147 disebabkan oleh kadar pertumbuhan penduduk negeri yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5.2 peratus, berbanding pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 1.3 peratus.
Bagaimanapun, nilai KDNK Sabah mencatatkan peningkatan kepada RM83.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM82.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Ini menunjukkan bahawa ekonomi negeri masih sedang berkembang dan kekal berdaya tahan.
Di peringkat negeri Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, terus komited memberi tumpuan bagi pembangunan sektor pelancongan, sebagaimana tertulis dalam Belanjawan 2025.
Bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri, sektor pelancongan dibangunkan bersama-sama dua lagi sektor utama, iaitu pertanian dan perindustrian, membabitkan peruntukan sebanyak RM838.42 juta.
Dalam sektor pelancongan khususnya, Belanjawan 2025 menyediakan sejumlah RM102.87 juta kepada KePKAS untuk tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.
Daripada jumlah tersebut, RM10.84 juta adalah bertujuan untuk pembangunan aset-aset pelancongan termasuk RM6.5 juta untuk Projek Pembangunan Pelancongan Luar Bandar yang memfokuskan kepada ekopelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Pada masa sama, kolaborasi bersama syarikat penerbangan dalam dan luar negara selaku rakan strategik terus diperkasa bagi menambah akses laluan udara.
Ini menjadi antara fokus utama kerajaan untuk memangkin pertumbuhan industri pelancongan negeri memandangkan 90 peratus kemasukan pelancong ke negeri ini adalah melalui udara.
Inisiatif ini juga adalah selari dengan komitmen kerajaan bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 3.7 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah dengan Perbelanjaan Pelancongan berjumlah RM9.1 bilion.
Menyedai pesona alam dan budaya sebagai nadi industri pelancongan, kerajaan negeri mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya.
Sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai program dirangka untuk dilaksanakan pada tahun hadapan termasuklah memberi latihan upskilling dan reskilling kepada pengusaha luar bandar agar berupaya menyediakan perkhidmatan berkualiti.
Hakikatnya, paduan antara keindahan alam semulajadi dan keunikan budaya etnik perlu terus dijadikan fokus demi menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang penuh makna kepada setiap tetamu yang hadir.
Setiap pelancong yang datang bukan hanya berpeluang untuk menikmati panorama alam yang menakjubkan, tetapi juga dapat merasai kehangatan budaya yang bersifat inklusif dan menyatukan perbezaan.
Natijahnya, melalui sektor pelancongan, Sabah bukan sahaja menjana ekonomi negeri, tetapi turut memartabatkan budaya dan warisan tradisi yang menjadi teras kekuatan masyarakatnya.
Pemain-pemain industri pelancongan harus mengambil peranan secara proaktif, apatah lagi dalam menghadapi kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Perlu diingat bahawa keajaiban alam dan budaya Sabah bukanlah suatu kebetulan.
Ia adalah hasil daripada penjagaan dan pemeliharaan yang teliti, serta penghargaan yang mendalam terhadap alam sekitar dan warisan budaya.
PESONA PELANCONGAN: Hajiji (tengah) mempengerusikan mesyuarat semasa lawatan kerja ke KePKAS pada 12 Jun lepas.
Sabah, dengan segala pesonanya, perlu terus berkembang menjadi destinasi kunjungan pelancong dalam dan luar negara.
Usaha agresif mesti dibuat bagi mengundang seantero dunia untuk menyelami rahsia di sebalik keindahan yang terpendam di bumi Sabah.
Bersama-sama kita menjaga Gunung Kinabalu yang gah berdiri, hutan tropika merimbun tinggi dan budaya bangsa kekal lestari di negeri yang penuh rahmat, saksi pesona bumi Sabah yang tidak pernah pudar.
|