Edited by maklukpenggoda at 21-12-2024 01:20 PM
KUALA LUMPUR: Man Bai enggan menyokong program realiti, Gegar Vaganza (GV) yang didakwa merendahkan martabat artis bertanding.
Man Bai atau nama sebenar, Abdul Rahman Osman, 57, memberitahu pendiriannya teguh apabila menolak tawaran menjadi penyanyi jemputan program itu, baru-baru ini.
"Saya dihubungi produksi yang hendak saya jayakan segmen lagu duet. Saya tidak ambil tawaran itu kerana fikir program itu memalukan artis. Kenapa mahu merendahkan martabat artis?
"Apa perasaan penyanyi apabila terpaksa berdiri seorang diri menantikan saat namanya diumumkan sebagai peserta tersingkir seperti segmen Ada Lagu Ada Lagi," katanya.
Tambah Man Bai, dia sangsi dengan ketelusan format dan objektif GV.
"Kita ambil contoh apa yang berlaku terhadap penyanyi Inka Christie yang tersingkir, Ahad lalu.
"Inka pernah menang pelbagai anugerah termasuk di rantau Asia Pasifik. Tidak logik bagaimana dia boleh tersingkir.
"Di Indonesia mereka ada 230 juta penonton, tiada siapa yang tidak kenal Inka. Maksud saya, jangan buat permainan begini, saya tidak suka.
"Kita kalau mahu cari bakat, biar cara yang betul," katanya ditemui pada sidang media Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1 di sini, semalam.
Kekecewaan vokalis kumpulan Gersang itu terhdap GV juga ketara apabila mempertikaikan kredibiliti Datuk Ramli MS sebagai ketua juri yang tidak memilih Liza Aziz sebagai peserta terbaik pada konsert minggu keempat.
"Ronnie Hussein menang minggu lalu kerana Ramli kata sudah selalu beri kemenangan kepada Liza.
"Kalau betul Liza layak menang, mengapa takut berikan (kemenangan) kepadanya? Bagaimana dengan usaha yang dilakukan Liza sebelum ini sampai dapat tempat ketiga.
"Bagaimana anda jadi ketua juri? Kalau dalam hati anda betul-betul seorang juri dan mahu beri kemenangan kepada yang layak, beri sahajalah.
"Bukan sebarangan penyanyi boleh nyanyi dengan nada suara turun naik lagu Sambaria seperti Liza selain penyanyi asalnya, Fairuz Hussein," katanya.
Dalam perkembangan lain, Man Bai yang popular dengan lagu Kau Ilhamku itu menjadi salah seorang penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1 di Zepp Kuala Lumpur di sini, pada 25 Januari ini.
Penyanyi otai lain yang turut memeriahkan konsert itu adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin dan Amir Masdi.
BH
|