Edited by sfhzuraz at 28-12-2024 01:35 AM
Penganggur ugut mahu tikam bapa hempas anak saudara 25 hari dipenjara 3 bulan
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Disember 27, 2024 @ 6: 53pm @bh.com.my
Penganggur, Muhammad Mahathir Zala-udin, 29, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya termasuk mengancam menghempas anak saudaranya yang berusia 25 hari. - Foto NSTP/Aminah Yusof
BALIK PULAU: Penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya termasuk mahu menghempas anak saudaranya yang berusia 25 hari, Rabu lalu.
Majistret, Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Mahathir Zala-Udin, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya Muhamad Shafik Zala-Udin, 27, dengan menyatakan mahu menikam bapa mereka dengan pisau.
Tertuduh turut berkata mahu menghempas bayi perempuan adiknya yang berumur 25 hari ke lantai dengan niat menyebabkan kegentaran dan ketakutan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Masjid Teluk Kumbar, Bayan Lepas dekat sini, jam 4.10 petang pada 25 Disember lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani yang memohon mahkamah menawarkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Namun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara minimum susulan dia tidak mempunyai wang untuk membayar denda.
"Dia juga menyesal kerana melakukan kesalahan itu," katanya.
Berdasarkan fakta kes, sebelum itu berlaku pertengkaran mulut disebabkan kipas angin rosak di rumah mereka sebelum tertuduh mengugut mahu mencederakan bapa mereka dan menghempas bayi perempuan adik lelakinya, seorang pekerja kilang.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1341827/penganggur-ugut-mahu-tikam-bapa-hempas-anak-saudara-25-hari-dipenjara-3
|