Jurutera didenda RM6,000 miliki video pornografi kanak-kanak, bahan lucah
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Disember 27, 2024 @ 7:12pm [email protected]
Koay Lian San, 45, didenda RM6,000 selepas mengaku salah dua pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak. - Foto NSTP/Mikail Ong
BALIK PULAU: Seorang jurutera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah dua pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak selepas ditahan pihak berkuasa, Isnin lalu.
Majistret Chia Huey Ting turut memerintahkan Koay Lian San, 45, menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
"Setelah mengambil kira pengakuan bersalah dan fakta kes, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan pertama dan denda RM2,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan kedua.
"Semua barangan yang dirampas dalam kes ini akan dilupuskan selepas proses rayuan selesai," katanya pada prosiding tersebut.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didapati memiliki video pornografi kanak-kanak di rumahnya di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas jam 9.20 malam, pada 23 Disember lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] yang boleh dihukum di bawah Seksyen sama.
Seksyen kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki video-video lucah yang disimpan dalam komputernya pada waktu dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Semasa prosiding, Lushani memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran selain memohon barang kes dilupuskan setelah tamat tempoh rayuan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh dalam mitigasi rayuan memohon denda minimum dan memaklumkan tertuduh perlu menyara isteri, dua anak serta ibunya dan mempunyai pendapatan bulanan RM4,500.
"Pengakuan bersalah oleh tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah. Tertuduh juga memohon maaf, insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini," katanya.
Media pada Selasa lalu melaporkan seorang jurutera ditahan dalam serbuan 'Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC' di kediaman tiga tingkat yang terletak dalam kawasan kejiranan mewah di Bayan Lepas.
Serbuan itu diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangkap individu disyaki memiliki dan mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Operasi tersebut membabitkan siri serbuan yang diselaraskan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1341837/jurutera-didenda-rm6000-miliki-video-pornografi-kanak-kanak-bahan-lucah
|