GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
Tokyo: Ginzan Onsen, bandar air panas terkenal di Jepun dan dikenali kerana pemandangan bersalji yang indah, mula mengehadkan kemasukan pelawat harian menjelang kemuncak musim sejuk ini.
Ia menjadikannya destinasi terbaharu yang mengambil langkah untuk menangani masalah pelancongan berlebihan di tengah-tengah lonjakan jumlah pelancong ke Jepun.
Terletak di wilayah Yamagata, kira-kira 418 kilometer di utara Tokyo, bandar itu antara lokasi terkenal di Jepun yang menarik sekitar 330,000 pelawat setiap tahun.
Pelancong dari seluruh dunia berkunjung ke bandar berusia 300 tahun itu ketika musim sejuk, bukan sahaja untuk merendam diri dalam air panas, tetapi juga untuk menikmati pemandangan indah bangunan tradisional zaman Edo yang diselimuti salji.
Ia dikatakan menjadi inspirasi bagi filem animasi Spirited Away karya pemenang Oscar, Hayao Miyazaki.
Namun popularitinya turut menyumbang masalah kepada penduduk bandar yang sepatutnya menikmati ketenangan, tetapi berdepan ragam pelancong seperti pertengkaran di lokasi bergambar dan tempat letak kereta.
"Ramai pelancong marah-marah (berteriak) demi mendapatkan tempat terbaik untuk mengambil gambar, yang mendorong pelanggaran peraturan jalan raya, penipuan dan mengambil kesempatan," kata pengurusan bandar itu di laman webnya yang dilapor CNN.
Untuk itu, bermula 7 Januari ini, sesiapa yang ingin memasuki bandar itu selepas jam 5 petang perlu membeli tiket, kata Pusat Maklumat Ginzan Onsen. Pelawat tanpa tempahan di hotel tempatan akan dilarang masuk selepas jam 8 malam.
Tiket termasuk perjalanan bas, berharga 1150 yen iaitu sekitar RM33 sementara mereka yang memandu sendiri perlu meletakkan kenderaan di pusat pelancongan berdekatan atau menggunakan bas ulang-alik untuk ke bandar.
Hiroyuki Ishii daripada Pejabat Projek Cegah Pelancongan Berlebihan Ginzan Onsen memberitahu CNN, bahawa pelawat harian yang memandu sering terperangkap di jalan bersalji hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menyekat akses ambulans.
"Kawasan untuk mengambil gambar sempit dan kadangkala pelawat bertengkar, saling menyuruh orang lain bergerak dari tempat itu. Pernah ada insiden di mana orang hampir terjatuh ke sungai selepas berlanggar satu sama lain," tambahnya.
Ginzan Onsen dalam senarai destinasi pelancongan popular lain yang mula mengawal jumlah pelawat selepas Jepun mengalami lonjakan pelancongan, rekod tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun berkata, negara itu mencatatkan 33 juta pelancong luar negara sehingga November lalu, mengatasi rekod 31.9 juta yang dicatatkan pada 2019.
Disiarkan pada: Disember 28, 2024
|