SIBU: Polis kini giat memburu suspek terlibat dalam kes tembakan yang berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Lada di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, insiden tersebut berlaku sekitar jam 1.54 pagi, dengan empat das tembakan dilepaskan ke arah rumah dan kereta mangsa.
“Tiada kecederaan dilaporkan, namun siasatan awal menunjukkan tembakan itu menyasarkan kediaman dan harta benda mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, suspek dipercayai lebih daripada seorang dan dilihat menaiki sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melepaskan tembakan serta khianat. Motif kejadian masih dalam siasatan,” tambahnya.
ACP Zulkipli turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Insp Muhammad Abu Bakar Roshidi di talian 012-8774241,” katanya.
Polis akan terus meningkatkan usaha untuk membawa suspek ke muka pengadilan dan memastikan keselamatan masyarakat di kawasan Sibu terjamin.
|