Lau (duduk tengah), Stanley (duduk, tujuh kanan), Ukar (berdiri, dua kanan) serta yang lain pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Tutus, Batang Igan, Sibu hari ini.
SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperteguh komitmen terhadap pendidikan berkualiti melalui pelaksanaan program dwibahasa (DLP), satu dasar yang dianggap asas penting mempersiap generasi muda negeri ini menghadapi cabaran global.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau berkata pelaksanaan DLP memastikan anak-anak Sarawak tidak hanya memperoleh pendidikan terbaik di peringkat tempatan tetapi mampu berdaya saing di peringkat global, menjadikan mereka lebih berdaya saing dan bersedia memimpin masa depan negeri dan negara.
"Pendidikan adalah satu isu amat dekat di hati saya dan kalangan masyarakat Sarawak terutama dalam memastikan masa depan anak-anak terus terjamin.
"Sejak dilancarkan pada 2016, program DLP diperkenalkan dengan objektif jelas meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dengan fokus utama penguasaan dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dilaksanakan di semua sekolah rendah di Sarawak di mana subjek-subjek seperti Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris.
"Pada masa sama, program itu memperluas pelaksanaannya ke peringkat sekolah menengah termasuk subjek Kimia dan Fizik, di mana pengajaran terus dilaksanakan dalam bahasa Inggeris," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ukar Senin, Sungai Tutus, Batang Igan di sini hari ini.
Ketua Pemuda SUPP Pusat itu berkata, dasar DLP bukan sahaja mempertingkat mutu pendidikan di sekolah-sekolah di Sarawak, tetapi membekalkan anak-anak dengan kemahiran diperlukan dalam bidang sains dan teknologi yang menjadi tunjang utama pembangunan industri di negeri ini.
Beliau berkata, dasar itu juga merupakan langkah strategik dalam menyiapkan anak-anak Sarawak dengan pengetahuan lebih luas dan relevan untuk pasaran pekerjaan global.
"Selain memperkenal program ini, Kerajaan Sarawak juga mengambil langkah lebih jauh dengan merancang pelaksanaan penilaian standard DLP.
"Penilaian ini bermula pada 2025 untuk murid-murid Tahun 6 dan diikuti pelajar Tingkatan 3 pada 2028 bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan program ini dan memastikan pelajar-pelajar mendapat pengiktirafan berdasarkan pencapaian mereka dalam penggunaan dua bahasa, khususnya dalam subjek Sains dan Matematik," jelasnya.
Begitupun, Lau tidak menafikan terdapat kebimbangan sesetengah pihak yang merasakan dasar DLP mungkin menyebabkan pengabaian terhadap bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.
Beliau menegaskan bahasa Malaysia tetap dihormati dan tidak diketepikan dalam sistem pendidikan.
Lau turut menyatakan persetujuannya dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee mengatakan bahasa Inggeris merupakan bahasa menuntut ilmu bagi memperluas pengetahuan dari segi sains.
"Dari sudut apa kita pandang adalah bukannya menyekat perpaduan kalangan kita berbilang kaum dan agama, tetapi supaya anak-anak mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada sistem pendidikan kita dan boleh lebih maju ke hadapan.
"Kita tidak pernah berniat mengabaikan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Sebaliknya, apa yang kita mahu adalah memastikan anak-anak dapat manfaat pendidikan sebaik mungkin, tidak hanya untuk keperluan tempatan tetapi bersaing di arena antarabangsa," katanya.
Beliau turut mengingatkan untuk memastikan dasar pendidikan progresif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, kestabilan politik di Sarawak adalah aspek tidak boleh dipandang ringan.
Mengambil petikan ucapan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Lau menekankan kestabilan politik yang kukuh adalah asas kepada kemajuan berterusan dalam sektor pendidikan.
"Kestabilan politik diterajui oleh perpaduan rakyat adalah syarat utama untuk memastikan dasar-dasar yang baik dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang," jelasnya.
Sementara itu, Temenggung Stanley Gramong dalam ucapannya turut menggesa tuai-tuai rumah sentiasa prihatin dengan pemasalahan di rumah-rumah panjang mereka.
Menurutnya, sebagai pemimpin di kawasan rumah panjang adalah sangat penting bagi mereka menjalin hubungan baik dengan penduduk mereka.
"Jika ada hubungan baik, maka tugas kita lebih mudah dan lancar. Jangan mengabaikan penduduk kerana kita diamanahkan untuk menjaga mereka," katanya.
|