(Empat dari kanan) Yong, Tiang, Lau dan ahli SUPP yang lain merakam kenangan sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pemuda SUPP Dudong semalam. - Gambar SUPP
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Wong Ching Yong mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas dalam Biro Pemuda dan Pendidikan parti itu untuk membantu lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mengisi borang permohonan kemasukan ke universiti dan kolej.
Ini kerana Wong berpendapat bahawa proses kemasukan ke universiti dan kolej di Malaysia terlampau rumit dan kompleks.
Beliau menyatakan bahawa walaupun memperoleh markah penuh dalam keputusan STPM, ramai pelajar menghadapi penolakan daripada universiti tempatan yang terkenal, terutama dalam kursus yang diidamkan seperti perubatan, pergigian dan undang-undang.
"Mekanisme kemasukan ke universiti dan kolej di Malaysia adalah sangat rumit dan kompleks.
"Setiap tahun, selepas keputusan STPM dan SPM diumumkan, saya menerima banyak rayuan bantuan daripada ibu bapa dan pelajar yang kecewa kerana tidak mendapat tawaran untuk kursus yang diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pemuda SUPP Dudong semalam.
Majlis dirasmikan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
Wong menegaskan bahawa terdapat kemahiran dan teknik khusus diperlukan untuk mengisi borang permohonan kemasukan universiti dengan betul.
Beliau mencadangkan supaya bermula pada tahun 2025, Biro Pemuda dan Pendidikan SUPP melancarkan Pasukan Petugas untuk membimbing graduan melalui proses permohonan tersebut.
"Pasukan Petugas ini akan mendidik pelajar tentang kemahiran, teknik dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengisi borang permohonan dengan betul dan mahir, membantu mereka mengelakkan kesilapan biasa dan meningkatkan peluang mereka untuk diterima dalam kursus yang mereka cita-citakan," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau dalam ucapannya menekankan kepentingan penglibatan belia dalam politik dan khidmat masyarakat.
"Sebagai belia, saya berharap kita terus mencontohi semangat mereka yang tidak pernah pudar.
“Kita mesti menunjukkan keikhlasan kita dalam berkhidmat kepada masyarakat melalui tindakan kita.
“Dengan itu, kita berharap belia akan meletakkan kepercayaan dan harapan mereka kepada kita untuk memperjuangkan Sarawak yang lebih baik,” ujarnya.
Hadir sama Pengerusi SUPP Pelawan merangkap Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, Penasihat SUPP Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck dan Setiausaha Politik Premier Sarawak William Anut.
|