Dif-dif kehormat ketika pembikinan rakaman muzik video itu di MBKS hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Semangat keharmonian dan perpaduan budaya pelbagai kaum Sarawak menjadi tumpuan utama dalam video muzik Tahun Baharu Cina yang bakal diterbitkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyatakan penghargaan beliau kepada MBKS atas usaha menerajui projek tersebut menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Beliau menegaskan bahawa video tersebut menggambarkan keunikan budaya Sarawak ketika negeri ini melangkah ke arah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Ramai rakyat Sarawak serta masyarakat lain di Malaysia telah melihat betapa pesatnya perubahan Sarawak dalam sedekad yang lalu.
"Perbezaan antara tahun 2014 dan 2024 amat ketara. Namun, enam tahun akan datang lebih penting ketika kita terus dalam perjalanan transformasi ini.
“Adalah penting bagi semua rakyat Sarawak untuk bersatu demi memelihara keistimewaan terbaik negeri kita - perpaduan, keharmonian dan keamanan.
“Nilai-nilai inilah yang akan menjadi asas untuk kita mencapai kemajuan, khususnya dalam merealisasikan matlamat PCDS 2030, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mendapatkan autonomi dalam bidang kesihatan dan pendidikan sebagai usaha pembinaan negara,” katanya.
Dr Sim turut menyampaikan pandangan beliau itu ketika ditemui pemberita selepas sesi rakaman video muzik di Taman MBKS hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng menekankan bahawa video tersebut juga bertujuan mempromosikan warisan budaya kaya di kawasan Padungan, dengan menampilkan tapak-tapak bersejarah dan muralnya.
“Video muzik ini bukan sahaja meraikan musim perayaan tetapi juga menonjolkan kepentingan budaya dan sejarah kawasan Padungan, dengan mural yang menarik dan pesona bandar lamanya. Kami berharap ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk meneroka kawasan ini,” jelasnya.
Wee mengulas lagi bahawa perbincangan awam baru-baru ini mengenai patung kucing putih ikonik di Padungan, yang dihias dengan pakaian tradisional Cina untuk menyesuaikan tema perayaan dalam video tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa adalah tidak sesuai untuk menampilkan patung tersebut dalam pakaian Krismas sebelumnya, memandangkan konteks perayaan akan datang adalah Tahun Baharu Cina.
“Kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami prihatin terhadap perubahan bermusim ini.
“Menghias patung kucing mengikut tema perayaan adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menarik lebih ramai pengunjung dan meningkatkan daya tarikan bandar.
“Kami mengalu-alukan semua maklum balas, terutama kritikan membina, yang membantu kami memperbaiki lagi usaha ini,” tambahnya.
|