Abang Johari menerima cenderamata daripada Taka (empat kanan). Turut kelihatan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (barisan hadapan, empat kiri) dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi (barisan hadapan, kiri). - Gambar UKAS
KUCHING: HighChem Company Limited (HighChem), sebuah syarikat peneraju inovasi teknologi lestari berpangkalan di Tokyo, Jepun mencadangkan Sarawak sebagai lokasi sesuai untuk ujian perintis berskala besar bagi teknologi PX.
Presidennya Ushio Taka menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, ini selaras dengan inisiatif hijau di rantau ini.
Beliau berkata bagi tujuan itu HighChem menawarkan kerjasama strategik dengan Sarawak bagi memanfaatkan sumber tenaga diperbaharui di rantau ini.
Jelasnya, kerjasama itu lebih memfokus kepada tenaga hidro bagi menyokong pertumbuhan industri.
Hasrat menjalinkan kerjasama itu dinyatakan susulan perbincangan peringkat tertinggi HighChem dengan delegasi Sarawak diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
"HighChem begitu teruja dengan komitmen kukuh Sarawak untuk mengurangkan pelepasan karbon.
"Justeru, HighChem menawarkan kerjasama strategik untuk memanfaatkan sumber tenaga diperbaharui di rantau ini, terutama tenaga hidro bagi menyokong pertumbuhan industri," katanya.
Semasa mesyuarat itu, HighChem memperkenalkan teknologi CO2 to Paraxylene (PX), yang dibangunkan dengan sokongan Pertubuhan Pembangunan Teknologi Tenaga Baharu dan Industri Jepun (NEDO), berjaya menukar CO2 menjadi Paraxylene untuk digunakan dalam pakaian seragam pasukan kebangsaan pada Sukan Musim Panas 2024.
Syarikat itu turut memperkenalkan teknologi perintis iaitu Syngas to Ethylene Glycol (SEG), teknologi untuk menukar gas sintesis kepada etilena glikol, komponen penting dalam pengeluaran gentian poliester, sambil mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 1.25 juta tan setiap tahun.
"Dengan menggabungkan kepakaran teknologi HighChem dengan sumber tenaga diperbaharui yang melimpah di Sarawak serta kepimpinan kerajaan negeri, kerjasama ini dapat menjadikan Sarawak sebagai peneraju global dalam ekonomi hijau," ujar Taka lagi.
Perbincangan tersebut turut membawa hasil positif iaitu kedua-dua pihak membayangkan pembangunan produk poliester hijau bertaraf dunia dihasilkan sepenuhnya di Sarawak, sekali gus menetapkan penanda aras baharu untuk kelestarian.
|