CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 28342|Reply: 0

[Sarawak] Pusat Gastronomi Sarawak dijangka siap 2027

[Copy link]
Post time 1-1-2025 06:36 PM | Show all posts |Read mode


Datuk Wee Hong Seng

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bakal menaik taraf pasaran sedia ada dan pusat penjaja secara berperingkat supaya kekal sebagai hab dinamik interaksi komuniti dan pengalaman masakan di Sarawak.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata ini merupakan antara misi dan visi pihak majlis yang akan dilestarikan pada 2025, seiring dengan pembinaan Pusat Gastronomi Sarawak yang dijangka siap pada 2027.

“Selaras dengan penetapan sebagai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO bagi kategori gastronomi, kami akan melancarkan Kempen Sayangi Pasaran Anda yang bertujuan menggalakkan komuniti menyokong pasar tempatan dan pusat penjaja sebagai sumber utama bahan-bahan unik di Sarawak.

“Sebagai sebahagian daripada kempen ini, kami akan menaik taraf pasaran sedia ada dan pusat penjaja secara berperingkat untuk meningkatkan daya tarikan dan memastikan ia kekal sebagai hab dinamik bagi interaksi komuniti dan pengalaman masakan,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2025, hari ini.

Sementara itu, Wee menambah, sebagai sebahagian daripada Inisiatif Hijau, MBKS telah menjalankan kerja menaik taraf taman sedia ada, termasuk Taman Rekreasi Hui Sing.

Beliau berkata, ini merupakan usaha mewujudkan ruang keselesaan kepada komuniti untuk berekreasi dan bersantai sambil memelihara alam sekitar.

“Peningkatan ini termasuk kemudahan yang dipertingkatkan seperti laluan pejalan kaki yang lebih baik, kawasan permainan yang diperluaskan untuk kanak-kanak, dan tempat duduk baharu serta kawasan berlorek untuk berkumpul bersama keluarga.

“Penambahbaikan ini juga akan menampilkan landskap yang lebih baik, peningkatan kehijauan, dan ciri mesra alam untuk menggalakkan kemampanan.

“Usaha ini bukan sahaja menjadikan taman lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk pengguna semua peringkat umur tetapi juga menggalakkan gaya hidup lebih sihat, mengukuhkan ikatan komuniti, dan menyumbang kepada kesejahteraan,” katanya.

Merangkul inovasi, MBKS bergerak ke arah menjadi Bandar Pintar dengan pelaksanaan perkhidmatan e-penyerahan untuk proses seperti pelan pembangunan, tender, dan pelesenan.

Penambahbaikan ini, kata beliau, akan meningkatkan kecekapan dan ketelusan, memberi manfaat kepada perniagaan dan penduduk.

Sementara itu, tambah Wee, pada 2024, pihaknya telah memulakan inisiatif transformasi menjadi bandar raya mesra usia, susulan penerimaan sebagai ahli rangkaian Bandar dan Komuniti Mesra Usia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO AFCC).

“Ia merupakan dedikasi kami kepada penuaan aktif dan sihat, meletakkan Kuching Selatan di barisan hadapan di Sarawak, memupuk komuniti di mana semua generasi boleh berkembang maju.

“Dan menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak, kami telah menubuhkan Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan, seterusnya menunjukkan keazaman untuk mewujudkan persekitaran lebih baik kepada generasi kanak-kanak,” jelas beliau.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-1-2025 07:25 AM GMT+8 , Processed in 0.437458 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list