|
Oleh Normah Becok
2011/04/20
BEBERAPA hari lalu, ketika menikmati minum petang bersama beberapa rakan, hendak tersembur air teh yang baru saja hendak ditelan apabila Cik Normah dimaklumkan mengenai perangai seorang artis yang suka menghimpit milik orang.
Nasib baik air saja, kalau ketika itu Cik Normah sedang kunyah cucur pisang, mahu tercekik terus agaknya dek kehangatan cerita yang disampaikan.
Kisahnya, pada sebuah majlis hiburan yang berlangsung tidak berapa lama dulu, artis wanita ini pun ada sama memeriahkan acara. Ketika dia beramah-mesra bersama teman artis lain pada majlis itu, dia pun terpandang seorang artis lelaki yang boleh tahan ketampanan wajahnya.
Artis yang pernah dikaitkan dengan beberapa personaliti lelaki ini pun mendekati artis lelaki itu, mungkin dengan tujuan untuk merapatkan silaturahim antara rakan seperjuangan. Setahu Cik Normah, mereka berdua jarang bertemu, malah mungkin tidak pernah bersua secara berdepan, dek cabang seni yang agak berbeza.
Teman Cik Normah yang berkebetulan kenal dengan artis lelaki ini memang berada tidak jauh daripada mereka, ketika kedua-duanya menghulurkan salam perkenalan. Artis lelaki itu pula memang sudah berpunya, tetapi kekasih hati tidak ada di majlis itu hari itu, atas alasan kerja.
Tidak berapa lama kemudian, si artis perempuan ini dilihat meminta nombor telefon artis lelaki terbabit. Namun, sebelum sempat dia memberikan nombor telefonnya, artis lelaki tadi terpandang teman Cik Normah yang memang kenal rapat dengan kekasihnya.
Jadi, cepat-cepat dia memberikan alasan untuk mengelak daripada nombor telefonnya diberikan kepada artis wanita berkenaan. Kalau tidak, tak tahulah apa jadi kemudiannya.
Kata seorang teman lain, artis wanita tadi dikatakan meninggalkan majlis bersama seorang lelaki lain, yang juga antara bekas ‘kenalan rapatnya’. Oh, macam tu pulak dah...
Sumber: bharian.com.my
alahai....ramai betul teman Cik Normah kita ni....sekufu SS ke?... |
|