Banjir di Kluang pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah itu ditutup jam 10 pagi tadi. FOTO IHSAN APM
Johor Bahru: Banjir yang melanda Kluang pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah itu ditutup pada 10 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, dua PPS itu ditutup selepas 213 mangsa daripada 68 keluarga dibenarkan pulang ke rumah.
"Sehingga 10 pagi ini, hanya Pontian masih merekodkan mangsa banjir iaitu seramai 17 orang daripada empat keluarga di sebuah PPS," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini.
Bagaimanapun, terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada esok hingga Ahad ini.
Hanya Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bacaan air sungai di tahap amaran dengan bacaan 14.17 meter.
Disiarkan pada: Januari 16, 2025
|