Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan sekumpulan migran untuk menyeludup masuk ke negara ini menggunakan bot kecil di perairan Tanjung Adang, Tanjung Kupang, di sini, Isnin lalu.
Tindakan itu dikesan ketika anggota PPM Wilayah Dua (W2) Johor melakukan rondaan Op Taring Gelora pada 11.30 malam apabila ternampak sebuah bot tidak berlampu di perairan berkenaan.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, bot terbabit berjaya dipintas selepas dikejar sebelum ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika dari arah Pulau Merambong, Tanjung Kupang, di sini.
"Hasil pemeriksaan, kita mendapati ada 15 individu terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita berusia 22 hingga 54 tahun tidak mempunyai dokumen sah dalam bot berkenaan.
"Semua individu itu termasuk dua orang dipercayai bertindak sebagai tekong laut turut ditahan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati 13 migran itu dipercayai warga Indonesia dibawa masuk dari Pulau Terong Batam menuju ke pesisir pantai Tanjung Kupang menggunakan bot.
"Tekong laut mengaut keuntungan dengan menerima bayaran upah secara tunai sebanyak RM1,000 bagi setiap perjalanan, selain sanggup merisikokan nyawa migran dengan menggunakan bot bersaiz kecil.
"Polis turut merampas sebuah bot fiber, enjin bot, satu gugusan anak kunci dan 15 telefon bimbit untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kesemua migran direman bermula kelmarin sehingga 27 Januari ini mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, dua 'tekong laut' ditahan sehingga 10 Februari depan untuk disiasat mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.