Johor Bahru: Suri rumah berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas menjadi mangsa penipuan kerja sambilan atas talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 40 tahun tertarik dengan iklan kerja sambilan di media sosial Facebook pada 29 Disember lalu.
Menurutnya, iklan berkenaan menawarkan komisen tinggi dengan tugasan mudah, tetapi mangsa dimaklumkan perlu membuat bayaran pendahuluan ke akaun bank tertentu.
Katanya, mangsa juga diarahkan membeli barangan seperti komputer riba dan jam tangan melalui pautan laman web.
"Dalam tempoh antara 3 Januari hingga 12 Januari lalu, mangsa membuat 42 transaksi berjumlah RM207,092 ke 15 akaun bank tempatan yang berbeza.
"Namun, mangsa hanya menerima komisen sebanyak RM111 sebelum diminta membuat bayaran tambahan menyebabkan dia menyedari ditipu apabila gagal memperoleh keuntungan dijanjikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa memaklumkan menggunakan simpanan peribadi kerana pernah bekerja di luar negara sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa, selain meminjam wang daripada rakan-rakan.
"Semakan melalui portal Semak Mule CCID mendapati empat akaun bank yang terlibat dalam transaksi itu mempunyai rekod penipuan sebelum ini," katanya.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato' Onn, di sini, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.