Pang (tengah) bersama guru-guru SMK Bandar dan tetamu menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Prestasi Sesi 2024/2025 SMK Bandar pada Selasa.
BINTULU: Usaha gigih para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan bidang-bidang lain wajar dihargai oleh pihak sekolah untuk menyuntik semangat pelajar ini terus berjaya pada masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, usaha gigih para pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang merupakan hasil kerja keras pelajar tersebut.
Katanya, kejayaan mereka juga adalah hasil usaha yang konsisten, disiplin tinggi serta sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah.
"Maka penghargaan ini penting sebagai pemangkin untuk para pelajar terus berusaha mencapai impian masing-masing," ujarnya berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Prestasi Sesi 2024/2025 bertemakan 'Bandarian Excellence Support' Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di Hotel Kemena Plaza di sini pada Selasa.
Beliau berkata, semangat dan usaha gigih para pelajar yang menerima anugerah juga memberikan inspirasi kepada pelajar lain untuk berjaya.
Ujarnya, ia memperlihatkan bukti bahawa kerja keras dan dedikasi seseorang itu akan membuahkan hasil baik daripada usaha yang dilakukan.
"Harapan saya, semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk pelajar lain terus berusaha mencapai kejayaan," katanya sambil menambah majlis seumpamanya juga adalah bukti komitmen pihak sekolah dalam bidang pendidikan.
Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Pegawai (Sektor Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, Yusuf Harbi, Pengetua SMK Bandar Rubiah Taip, guru-guru kanan sekolah dan para tetamu.
|