Tertuduh (tiga kiri) dikawal ketat semasa dibawa ke Mahkamah Majistret petang tadi.
MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan individu lain.
Chin Soon Hock, 33, dari Jalan Tasik, Desa Senadin di sini, telah didakwa atas enam tuduhan di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa tanpa kuasa atau tujuan sah telah memiliki atau mengawal mana-mana instrumen pembayaran milik orang lain di institusi kewangan dengan memiliki enam keping kad ATM kepunyaan enam individu lain.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 8 Januari lalu di tempat letak kenderaan sebuah cawangan bank di Pusat Komersial Boulevard di sini.
Terdahulu di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman dan ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.
Majistret Sandy Yvette Freddy yang mendengar kes itu menerusi zoom membenarkan permohonan pihak pendakwa dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan lanjut kes.
Sehubungan itu, tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM7,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
|