Kepala Batas: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerima sehingga antara 26 hingga 30 permohonan baharu daripada pengusaha perniagaan di negeri ini untuk mendapatkan sijil halal pada setiap dua minggu.
Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata ia membuktikan kesedaran mengenai kepentingan memperoleh pensijilan halal kini semakin meningkat dalam memenuhi keperluan pelanggan Muslim serta menitikberatkan aspek kebersihan.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan berkala tetap dijalankan bagi memastikan pengusaha mengikuti prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengelak isu lain timbul.
"Memang kita dapati terdapat lonjakan kesedaran berhubung kepentingan sijil halal ini, apatah lagi sebelum ini ada dalam kalangan Bumiputera Islam merasakan tidak perlu sijil halal ini.
"Untuk bukan Islam pula mereka memohon untuk mengesahkan bahawa produk yang mereka jual halal selain ingin memasarkan produk mereka untuk pasaran Muslim.
"Namun, walaupun jumlah permohonan banyak diterima, kita tetap melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan pengusaha sentiasa mengikuti prosedur yang betul dan memastikan produk yang dihasilkan memenuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelak isu lain timbul," katanya.
Terdahulu Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Bersama Jabatan dan Agensi Agama Islam Pulau Pinang serta Majlis Pelancaran Penjenamaan Zakat dan Wakaf di Dewan Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, pihaknya tidak menerima aduan rasmi berhubung penipuan atau salah guna sijil halal di negeri ini sepanjang tahun lalu.
"Selalunya bila terima aduan pegawai berkaitan akan turun ke lapangan buat pemeriksaan dan sekiranya ada kesalahan tindakan akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Kita tak boleh pergi buat pemeriksaan sebulan sekali nanti (pengusaha) tak selesa pula. Jadi, selain pemeriksaan berkala, pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan berdasarkan aduan," katanya.
Katanya, bahagian penguatkuasaan dan audit JHEAIPP sentiasa melakukan pemeriksaan secara berkala terhadap pengusaha yang memohon sijil halal.