CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30247|Reply: 0

[Kedah] Petra bimbang perkembangan projek LRA Sungai Limau

[Copy link]
Post time 21-1-2025 07:23 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 21-1-2025 07:25 PM

Petra bimbang perkembangan projek LRA Sungai Limau

NURUL HIDAYAH HAMID
21 Januari 2025 03:54pm




Akmal Nasrullah (kanan) mendengar taklimat berkaitan projek RTB Sungai Pendang pada Selasa.




YAN - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bimbang perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau, Baling.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pihaknya mendapati kerja-kerja pembinaan LRA terbabit telah terhenti sejak Julai lepas.


"Ini adalah lawatan kali ketiga saya ke tapak ini, dan agak mengecewakan apabila tidak ada lagi kemajuan kerja.

"Difahamkan, kerja-kerja telah terhenti sejak Julai lalu, maka pihak kementerian memandang serius dalam soal hala tuju yang kita boleh cuba bantu (dengan) keadaan di sana," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan pemantauan ke atas tiga projek pembangunan di Kedah di tapak RTB Sungai Pendang di sini pada Selasa.

Sebelum itu, beliau melawat tapak LRA Sungai Limau, diikuti LRA Jenun Baru dan tapak RTB Sungai Pendang.


Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihak kementerian telah bermesyuarat dan membuat ketetapan supaya menamatkan kontrak kontraktor sedia ada.

"Jadi, sekarang ini urusan pentadbiran itu sedang dilaksanakan di peringkat negeri dan sekarang ini lebih kepada untuk memutuskan dahulu (penamatan) kontraktor lama," katanya.


Beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai kos tambahan dan garis masa projek yang mungkin terjejas akibat kelewatan tersebut.

Ujarnya, kelewatan itu turut dikhuatiri menjejaskan akses penduduk kepada bekalan air bersih yang sangat diperlukan di kawasan berkenaan.

"Bagi pihak kementerian, saya telah memberi keputusan jelas bahawa perkara ini perlu ditamatkan (dengan) mengambil kira kemajuan projek itu sangat perlahan," katanya.

Jelas beliau, projek LRA Sungai Limau bermula pada tahun 2021 dan melibatkan 15 komponen yang perlu dibina di kawasan loji.

Bagaimanapun, Akmal Nasrullah berkata, sehingga kini, semua komponen belum siap, malah ada komponen yang belum dimulakan kerja-kerjanya.

Di peringkat kementerian, kebimbangannya adalah jika perkara ini terus dibiarkan tanpa ada sebarang kemajuan, maka yang rugi adalah penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu ketetapan jelas berkaitan LRA Sungai Limau perlu diputuskan demi membolehkan projek terbabit berjalan dengan lancar.

"Jadi, perkara itu telah pun disampaikan kepada kerajaan negeri sebagai pelaksana bahawa sebaik kita kena ada hala tuju yang baharu, maka proses penamatan itu perlu berlaku," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Projek LRA Jenun Baru didapati menunjukkan perkembangan yang lebih baik.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati proses pembinaan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun ini.

Beliau menyifatkan, perkembangan terbabit membuktikan bahawa kerjasama baik dari semua pihak membolehkan proses dan gerak kerja berjalan lancar.

Justeru, beliau mengharapkan komitmen pihak terlibat termasuklah kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu yang timbul untuk manfaat penduduk setempat.


https://www.sinarharian.com.my/article/708477/edisi/utara/petra-bimbang-perkembangan-projek-lra-sungai-limau


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-1-2025 12:51 PM GMT+8 , Processed in 0.056685 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list