Timbalan pengarah agensi kerajaan antara dua ditahan disyaki terima rasuah RM600,000. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Dua individu termasuk timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan direman enam hari bermula hari ini, untuk siasatan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000 daripada beberapa syarikat pelabur.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali sehingga 26 Januari selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada 5.30 petang.
Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2019 hingga 2024.
"Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000 daripada syarikat-syarikat pelabur sebagai balasan membantu memudahkan syarikat terbabit mendapatkan kelulusan.
"Mereka disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank sebuah syarikat perunding yang berperanan sebagai orang tengah," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Disiarkan pada: Januari 21, 2025
|