Ini termasuk menangguh sebarang bayaran berkaitan sesi persekolahan di kawasan yang terjejas teruk: KGBS
KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) disaran mengeluarkan pekeliling khas bagi menguruskan persekolahan pascabanjir, termasuk menangguhkan sebarang bayaran berkaitan sesi persekolahan di kawasan yang terjejas teruk.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli (gambar) berkata, langkah itu penting bagi membantu sekolah-sekolah yang mengalami kesan buruk akibat bencana tersebut, terutama di kawasan pedalaman dan sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Banyak sekolah mengalami kerosakan teruk, malah ada yang digunakan sebagai PPS.
“Minggu akan datang pasti mencabar bagi pihak sekolah, bukan sahaja dalam aspek pemulihan infrastruktur tetapi juga kebajikan guru dan murid yang terjejas.
“Malah, saya percaya banyak buku dan peralatan sekolah rosak serta perlu diganti.
“Oleh itu, JPNS perlu mengeluarkan pekeliling khas untuk penangguhan sebarang bayaran berkaitan pembukaan sesi persekolahan di kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Zulkiflee turut berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Sarawak dapat menyalurkan bantuan khas kepada guru yang mengalami kerugian dan kerosakan kuarters akibat banjir.
Dengan bantuan tersebut katanya, bukan sahaja dapat meringankan beban guru malah memberi semangat kepada mereka untuk bangkit daripada trauma yang dialami.
“Kita harap bantuan sebegini dapat memberi satu sinar kepada mereka ketika waktu sukar,” katanya.
Selain itu katanya, KGBS juga mencadangkan agar cuti khas diberikan kepada guru bagi membolehkan mereka menguruskan kediaman yang terjejas.
“Kebanyakan guru luar bandar mungkin hanya kembali ke stesen bertugas sehari atau dua hari sebelum sesi persekolahan bermula.
“Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengemas dan membaiki kerosakan di kediaman mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zulkiflee turut mencadangkan agar KPM turun padang ke sekolah-sekolah yang terjejas teruk bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk beroperasi semula.
“Jika perlu, pembinaan sekolah baharu di lokasi yang lebih selamat seperti kawasan lebih tinggi serta penyediaan kuarters guru yang lebih selesa perlu menjadi keutamaan dalam menangani bencana seperti ini,” katanya.
Beliau juga berharap pihak sekolah dapat mempertimbangkan sumbangan serta kutipan derma daripada ibu bapa bagi membantu pengurusan pascabanjir, khususnya di sekolah-sekolah yang terjejas teruk.
|