Edited by Vellfire at 5-2-2025 01:39 PM
SIBU: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri peti televisyen dari sebuah hotel di Jalan Central.
Majistret Oon Kork Chern yang menjatuhkan hukuman itu terhadap John Chua, 44, dan Buni Nyalau, 33, turut memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman itu daripada tarikh sabit kesalahan.
John dan Buni terdahulu dituduh mencuri peti televisyen jenama Sharp dari sebuah hotel di Jalan Central pada jam 12.49 tengah hari, 30 Januari 2025.
Sehubungan itu, kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga 10 tahun dan juga denda.
Sementara bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, hendaklah dijatuhi hukuman penjara dan juga denda atau sebatan.
Fakta kes menyatakan pada jam 1 petang 30 Januari 2025, ketika pengadu sedang bekerja di kaunter hotel, pengadu dimaklumkan oleh rakan sekerjanya berhubung kehilangan peti televisyen dari sebuah bilik hotel dengan kerugian dianggarkan RM500.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan pada 31 Januari 2025, jam 10 pagi, pihak polis telah menangkap seorang lelaki yang disyaki terlibat mencuri peti televisyen terbabit di Jalan Central.
Dengan dipandu arah lelaki terbabit yang dikenali sebagai John, pihak polis telah menemui peti televisyen yang dilaporkan hilang itu di sebuah rumah di Jalan Tong Sang.
Pihak polis turut menangkap seorang lagi tertuduh iaitu Buni pada hari sama, jam 3 petang di Jalan Market kerana disyaki terlibat mencuri peti televisyen tersebut.
|