Edited by JoyahMengayah at 21-2-2025 06:51 AM
Selepas memenangi Anugerah Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39), Aina Abdul berjaya mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi wanita pertama yang memiliki kesemua trofi di acara berprestij tersebut.
Meluahkan rasa syukur atas pencapaian diraih, Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, dirinya tidak akan pernah berasa puas untuk berkarya, namun menganggap sudah cukup buat masa ini.
Kerana itu saya sangat bersyukur. Kadang-kadang saya tertanya, apa lagi yang dimahukan di pentas AJL dan apa lagi boleh diberikan.
Tidak akan pernah rasa puas apa kemahuan diri mahukan. Saya kira Allah beri saya Anugerah Persembahan Terbaik ini sekali gus mungkin sudah cukup.
Aina berkata demikian di sidang media malam kemuncak AJL39 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Disoal adakah perkataan ‘sudah cukup’ memberi bayangan mahu berehat daripada menyertai AJL, pelantun lagu ‘Puas Sudah’ itu menjawab dirinya selepas ini mahu memberi fokus kepada perkara lain yang kurang memberi tekanan.
Akan lihat bagaimana seterusnya, tetapi saya punya fokus sekarang untuk buat sesuatu luar daripada AJL. Saya mahu ‘explore’ lebih lagi untuk berkarya.
Saya perlu fokus kepada sesuatu yang lebih selamat untuk mental dan minda. AJL ini merupakan satu pentas yang sangat memberi tekanan, stress gila.
Saya tidak tahu bila akan puas untuk AJL, tetapi buat masa sekarang itu lah seperti apa saya katakan.
Untuk info, Aina sudah berjaya memiliki semua trofi di AJL termasuk Juara, Naib Juara, Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Imbas kembali, Aina bergelar Juara pada AJL37 (Terus Hidup) dan Naib Juara pada AJL35 (Semalam). Manakala Tempat Ketiga pada AJL38 (Jangan Mati Rasa Itu).
Untuk Vokal Terbaik pula, Aina berjaya memegang ‘hectric’ sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu pada AJL36 (Sepi), AJL37 (Terus Hidup) dan AJL38(Jangan Mati Rasa Itu).
Terbaharu, pada edisi AJL39, Aina berjaya merangkul Anugerah Persembahan Terbaik menerusi lagu ‘Puas Sudah’.
|