|
Gua Musang: Pemilik haiwan ternakan yang dilepaskan berkeliaran di beberapa laluan utama di daerah ini dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab terhadap ternakan mereka.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tindakan segelintir penternak itu menyebabkan berlaku kemalangan yang membabitkan haiwan ternakan di beberapa laluan utama di daerah ini.
Katanya, sepanjang tahun lalu, 191 kes kemalangan jalan raya membabitkan haiwan ternakan iaitu lembu, dan daripada jumlah itu, satu kemalangan membabitkan kematian yang berlaku pada Februari tahun lalu.
"Kemalangan seperti itu membabitkan empat laluan utama iaitu Jalan Gua-Kuala Krai, Gua Musang-Aring, Gua Musang-Jeli dan Gua Musang-Lojing.
"Mengikut rekod kemalangan membabitkan haiwan ternakan, Jalan Gua Musang-Kuala Krai menunjukkan jumlah kemalangan yang paling tinggi iaitu 158 kes.
"Ia diikuti Jalan Gua Musang-Aring sebanyak 23 kes dan Jalan Gua Musang-Jeli dan Gua Musang-Lojing, masing-masing dengan sembilan dan satu kes," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, bulan Oktober dan Disember mencatatkan kemalangan yang paling banyak iaitu 23 kes.
Oleh itu, beliau menasihatkan penternak untuk lebih bertanggungjawab terhadap ternakan mereka dengan cara menambat atau mengurung di dalam kandang.
Minggu lalu, media melaporkan, remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh lembu melintas di Jalan Felda Chiku 3 di sini.
Dalam kejadian 6.45 petang itu, Muhammad Hanif Asraf Mohd Mazlan, 19, dari Felda Chiku 3 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|