Peniaga bazar Ramadan naik harga sehingga RM2
Hazira Ahmad Zaidi - Februari 19, 2026 @ 4:48pm
Tinjauan di Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV kembali meriah dengan kehadiran pengunjung pada hari pertama Ramadan. Foto Nik Abdullah Nik Omar/NSTP
KOTA BHARU: Peniaga bazar Ramadan dikesan menaikkan harga beberapa juadah antara RM0.50 hingga RM2 dengan alasan peningkatan kos bahan mentah yang membebankan.
Tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, dekat sini mendapati sebungkus lauk gulai kawah yang dijual pada harga RM10 tahun lalu, kini dijual antara RM12 hingga RM15.
Peniaga lauk pauk, Norhasuzi Othman, 46, berkata, mengakui kenaikan harga santan yang mencecah sehingga RM15 sekilogram menyebabkan harga gulai kawah yang dijual terpaksa dinaikkan sebanyak RM2.
"Harga gulai kawah yang dijual pada tahun ini adalah di antara RM12 hingga RM15 satu bekas berbanding hanya RM10 pada tahun lalu.
"Walaupun berlaku kenaikan harga, kebanyakan pelanggan tetap, khususnya yang menggemari gulai kawah masih menjadikan gerai saya sebagai pilihan untuk mendapatkan juadah berkenaan," katanya.
Bagi peniaga kuih tradisional, Abdul Rahman Abdul Aziz, 37, kenaikan harga bahan mentah terutamanya telur memberi kesan kepadanya yang lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan kuih muih tradisional.
"Di bazar ini saya menjual lebih 20 jenis kuih muih tradsional dan ada di antaranya yang terpaksa dinaikkan harga sekitar RM1 hingga RM2 berbanding tahun lalu, antaranya jala emas, nekbat, tahi itik dan buah tanjung yang kini dijual RM6 sebekas.
"Walaupun berdepan kenaikan kos bahan mentah, saya cuba bertahan dengan margin keuntungan minimum kerana bimbang pelanggan akan beralih ke gerai lain sekiranya harga kuih yang dijual dinaikkan terlalu tinggi," katanya.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Ahmad Naime Muhammad, 42, berkata harga makanan yang dijual di bazar berkenaan pada tahun ini tidak menunjukkan kenaikan ketara berbanding tahun lalu.
"Kalau ikutkan, harga makanan di bazar pada tahun ini sama sahaja seperti tahun lalu, namun jika mahu dibandingkan dengan dua atau tiga tahun lalu, memang ada perbezaan kerana dahulu makanan dijual lebih murah.
"Setiap kali berlaku kenaikan harga jualan di bazar, ia pasti memberi kesan kepada pelanggan terutama mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Naime mengakui bazar Ramadan tetap menjadi pilihan utama kerana menawarkan pelbagai pilihan juadah yang sesetengahnya yang muncul pada Ramadan sahaja.
|